HomeUtamaIndeks sinaran ultraungu (UV) di Kota Kinabalu capai tahap ekstrem

Indeks sinaran ultraungu (UV) di Kota Kinabalu capai tahap ekstrem

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Indeks sinaran ultraungu (UV) di Kota Kinabalu mencapai tahap ekstrem pada sekitar tengah hari tadi, dengan bacaan melebihi 11 berdasarkan rekod pengukuran di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Berdasarkan carta pengukuran pada Isnin, indeks UV mula meningkat selepas jam 8 pagi sebelum mencapai tahap tinggi sekitar jam 10 pagi.

Bacaan terus meningkat dan memasuki kategori sangat tinggi apabila mencecah lapan hingga 10 sekitar jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Indeks UV kemudian mencapai tahap ekstrem, iaitu 11 dan ke atas, sekitar tengah hari dengan bacaan tertinggi kira-kira 11.3 hingga 11.4 sebelum mula menurun selepas jam 12.30 tengah hari.

Bacaan kekal pada tahap ekstrem sehingga sekitar jam 1 petang sebelum menurun secara beransur-ansur ke tahap sangat tinggi dan tinggi pada sebelah petang.

Menjelang kira-kira jam 3 petang tadi, indeks UV turun kepada sekitar lima, iaitu kategori sederhana.

Indeks UV pada tahap lapan hingga 10 dikategorikan sebagai sangat tinggi, manakala bacaan 11 dan ke atas berada dalam kategori ekstrem, yang menunjukkan risiko lebih tinggi daripada pendedahan terus kepada sinaran matahari.

Orang ramai, khususnya mereka yang melakukan aktiviti luar, dinasihatkan mengambil langkah perlindungan ketika indeks UV berada pada tahap tinggi hingga ekstrem, termasuk mengurangkan pendedahan terus kepada matahari, menggunakan pelindung matahari dan memakai pakaian yang sesuai.

Rekod Jabatan Meteorologi Malaysia juga menunjukkan bacaan UV maksimum harian di Kota Kinabalu boleh mencapai tahap 11 dan ke atas pada tempoh tertentu, menggambarkan keadaan sinaran UV yang sememangnya boleh berada pada tahap ekstrem di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, indeks UV dijangka berada pada tahap tinggi di kebanyakan kawasan di seluruh negara dalam tempoh seminggu bermula minggu depan berikutan taburan hujan yang rendah serta litupan awan yang kurang.

Beliau berkata, keadaan itu susulan Malaysia kini berada dalam fasa aktif Monsun Barat Daya.

“Kita tidak menjangkakan hujan yang banyak di seluruh negara dalam tempoh seminggu akan datang. Jadi, dalam keadaan hujan dan awan yang kurang, sinaran UV dijangka mencatat nilai indeks yang tinggi dan sangat ekstrem,” katanya.

Beliau berkata intensiti sinaran UV turut dipengaruhi keadaan cuaca, dengan litupan awan yang rendah membolehkan lebih banyak sinaran UV sampai ke permukaan bumi.

Katanya, tahap sinaran UV lazimnya meningkat ketika matahari terik dengan tempoh puncak berbeza mengikut lokasi.

“Bacaan UV akan tinggi ketika matahari terik iaitu bermula sekitar pukul 10.00 pagi. Di Sabah dan Sarawak, tempoh matahari terik adalah lebih awal, sekitar pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Manakala di Semenanjung, matahari biasanya mula terik sekitar pukul 11.00 pagi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

17 warga China didenda keseluruhan RM170,000 tinggal lebih masa di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular