LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan menyita 100 liter petrol disyaki dimiliki tanpa permit dalam satu operasi penguatkuasaan di Ujong Pasir, di sini.
Sitaan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN WP Labuan pada jam 9.13 pagi, pada Selasa, hasil maklumat risikan.
Pengarah KPDN WP Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan dijalankan terhadap sebuah kenderaan berpendaftaran tempatan yang berada di kawasan letak kenderaan terbuka berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan lima unit gelen yang mengandungi cecair disyaki petrol dengan anggaran keseluruhan 100 liter.
“Pasukan pemeriksaan gagal menemui sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berhubung pemilikan barang kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Susulan penemuan itu, Junaidah berkata, pihaknya mengambil tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan menyita eksibit terbabit untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM5,377.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, KPDN WP Labuan akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang, khususnya membabitkan kawalan barang.
“KPDN WP Labuan menegaskan komitmen untuk terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang, khususnya berkaitan kawalan barang serta ketelusan maklumat harga kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan salah laku perdagangan diseru menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran aduan yang disediakan.
Kerjasama orang ramai penting bagi membantu kementerian mengesan sebarang ketidakpatuhan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.



