KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu kerjasama antara Sabah dan Amerika Syarikat (AS) terus diperkukuhkan berteraskan rasa hormat bersama serta kepentingan bersama.
Beliau berkata, hubungan Sabah-AS bukan hanya melibatkan kerajaan, malah turut merangkumi pelajar, usahawan, penyelidik, aktivis pemuliharaan dan komuniti yang bekerjasama dalam pelbagai bidang.
“Dengan membina perkongsian berasaskan kemampanan, peluang dan rasa hormat bersama, Sabah dan Amerika Syarikat boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan selamat.
“Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk memperdalam kerjasama, menterjemahkan idea kepada tindakan dan mengubah peluang kepada kejayaan yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata, sebagai sebahagian daripada Malaysia, hubungan Sabah dengan AS berlangsung dalam kerangka perkongsian Malaysia-AS yang lebih luas, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, inovasi dan keselamatan maritim.
Katanya, kedudukan Sabah yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, selain hubungan dengan pasaran serantau dan global yang semakin berkembang, menjadikan negeri itu mempunyai daya tahan, kepelbagaian, bakat serta potensi yang besar.
“Sabah bukan sekadar sebuah tempat yang memiliki keindahan alam semula jadi yang luar biasa, malah menawarkan peluang bermakna untuk pertumbuhan mampan menerusi kekayaan sumber semula jadi dan sektor pelancongan yang berkembang pesat, selain tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pembuatan, inovasi digital dan ekonomi biru.
“Sama ada minat anda dalam pertanian bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, ekopelancongan, tenaga bersih, logistik, perkhidmatan digital atau pembangunan sumber secara mampan, Sabah bersedia bekerjasama dengan pelabur yang benar-benar komited,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menyedari kemajuan tidak boleh dicapai oleh mana-mana organisasi atau kerajaan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan perkongsian antara sektor awam dan swasta, komuniti tempatan, pelabur, inovator serta industri antarabangsa.
Katanya, perkongsian kukuh mampu mewujudkan peluang pekerjaan, memindahkan pengetahuan, memperkukuh rantaian bekalan dan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai rakyat di seluruh Sabah.
“Oleh itu, kita menjemput para pelabur untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah menawarkan persekitaran yang membolehkan pelaburan bukan sahaja mencapai kejayaan komersial, malah memberikan impak jangka panjang kepada negeri dan rakyat.
“Kita mengalu-alukan rakan kongsi yang berkongsi komitmen kita terhadap pembangunan bertanggungjawab, rakan yang bersedia membangunkan perniagaan, membina bakat tempatan, menerima inovasi serta melindungi warisan semula jadi yang menjadikan Sabah unik,” katanya.
Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri komited meningkatkan kesalinghubungan, memudah cara pelaburan serta mewujudkan keadaan yang membolehkan sektor perniagaan berkembang dengan penuh keyakinan.
“Pelaburan di Sabah bukan sekadar pelaburan dalam sebuah pasaran; ia merupakan pelaburan dalam masa depan bersama yang inklusif, mampan dan penuh potensi,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata hubungan antara AS dengan rakyat Sabah mempunyai sejarah panjang yang bermula pada 1865, hampir satu abad sebelum pembentukan Malaysia.
Katanya, pada ketika itu, Konsul Amerika ke Brunei, Claude Lee Moses, memperoleh hak ke atas sebuah kawasan berhampiran Sungai Kimanis sebelum menjual pajakan berkenaan kepada dua pelabur Amerika yang kemudian membuka penempatan dikenali sebagai Ellena untuk mengusahakan tanaman kopi, lada dan tembakau.
Beliau berkata, pada 1899, USS Bennington belayar memasuki Sandakan bagi lawatan rasmi pertama sebuah kapal Amerika ke perairan negeri ini, manakala pada 1912, syarikat-syarikat Amerika mula menjalankan penerokaan minyak di Sabah.
“Ahli botani terkemuka Amerika datang pada 1914 untuk mengkaji hutan kita, dan pada 1920, dua pembikin filem dokumentari Amerika, Osa dan Martin Johnson, melakukan ekspedisi besar ke Borneo Utara British, kini Sabah, untuk merakam hidupan liar tempatan serta budaya masyarakat pribumi,” katanya.
Hajiji berkata, hubungan antara rakyat Sabah dan AS terus berkembang menerusi pelbagai program pendidikan dan pertukaran.
“Rakyat Amerika tidak pernah berhenti datang. Generasi rakyat Sabah telah menimba ilmu daripada sukarelawan Peace Corps di kampung-kampung kita, guru Fulbright di sekolah-sekolah kita serta program American Corner di Universiti Malaysia Sabah.
“Program pertukaran Amerika telah memberi ribuan anak muda Sabah kemahiran baharu dan keyakinan baharu,” katanya.
Dalam sektor tenaga, katanya, syarikat-syarikat Amerika seperti ConocoPhillips, McDermott dan Baker Hughes turut memainkan peranan dengan membekalkan tenaga kepada grid elektrik, menyediakan peluang pekerjaan serta menyokong sekolah dan projek bekalan air bersih.
Dalam aspek keselamatan pula, beliau berkata lawatan kapal secara berkala dan latihan seperti Pacific Partnership membantu memperkukuh keselamatan perairan serta rakyat Sabah.
Katanya, kerjasama dalam bidang pemuliharaan turut memberi manfaat kepada kawasan penting seperti Taman Tun Mustapha, Lembah Danum dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, sekali gus membantu melindungi keunikan Sabah serta membangunkan industri pelancongan mampan berasaskan khazanah alam negeri.
Hajiji berkata, nilai kepercayaan, rasa hormat bersama dan komitmen terhadap Sabah serta rakyatnya menjadi asas penting yang membolehkan hubungan berkenaan terus berkembang.
“Rakyat Amerika yang datang ke Sabah lebih seratus tahun lalu tentunya tidak dapat membayangkan Sabah seperti yang kita lihat hari ini. Begitu juga kita tidak mampu membayangkan sepenuhnya bagaimana Sabah pada masa hadapan.
“Namun, nilai-nilai yang telah membawa perkongsian ini merentasi tiga abad akan terus memacunya ke hadapan berasaskan kepercayaan, rasa hormat bersama dan komitmen bersama terhadap Sabah serta rakyatnya,” katanya.



