KOTA KINABALU: Kutipan wakaf tunai Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi tahun 2026 mencecah RM2.5 juta, meningkat ketara berbanding kira-kira RM34,000 yang direkodkan pada 2022.
Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali berkata, peningkatan itu membuktikan peranan wakaf semakin mendapat perhatian dan penting dalam pembangunan masyarakat di Sabah.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kewangan wakaf MUIS turut meningkat daripada kira-kira RM100,000 pada peringkat awal kepada RM3.4 juta pada tahun ini.
“Wakaf merupakan instrumen Islam yang masih baharu khususnya di Sabah, namun semakin mendapat perhatian apabila pemain wakaf menyumbangkan aset untuk dimanfaatkan.
“Pada tahun 2022, wakaf tunai hanya berjumlah kira-kira RM34,000 namun meningkat kepada RM2.5 juta pada 2026 dan begitu juga keseluruhan kewangan wakaf yang bermula daripada RM100,000 kini mencapai RM3.4 juta pada 2026.

“Penyumbang potongan wakaf bulanan pula kini melebihi 1,200 orang berbanding hanya 40 orang pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Ramlan berkata, perkembangan itu memberi ruang lebih besar kepada MUIS untuk memperluaskan manfaat wakaf dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan.
“Kita menjangkakan pada tahun ini, pemotong-pemotong wakaf akan mencapai lebih kurang RM3 juta di tabung wakaf tunai yang terbahagi kepada empat iaitu tabung amal, tabung kesihatan, tabung pendidikan dan tabung pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kunjungan hormat berkenaan turut diadakan bagi memaklumkan Tun Musa mengenai Program Bulan Wakaf yang dijadualkan berlangsung pada 7 September ini di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS.
Ramlan berkata, antara kelebihan menyumbang kepada wakaf ialah penyumbang boleh menikmati pengecualian cukai sebanyak 10 peratus, tertakluk kepada peraturan percukaian yang ditetapkan.
“Bermaksud kalau zakat itu 2.5 peratus, wakaf pula ditambah lagi dengan 10 peratus daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), maka itu adalah pengecualian cukai yang dapat dikurangkan daripada pendapatan tahunan syarikat atau individu yang menyumbang,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat dan majikan supaya menggalakkan lebih ramai pekerja menyertai skim potongan gaji bulanan bagi wakaf MUIS.
Katanya, peningkatan penyertaan itu penting bagi membolehkan lebih banyak pembangunan diterjemahkan dalam bentuk aset wakaf yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh Sabah.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad; dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Dr Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar.



