SHAH ALAM : Kontinjen Para Sabah terpaksa berpuas hati di tangga kedua carta keseluruhan Para SUKMA 2026 selepas tuan rumah Selangor mengambil alih kedudukan teratas dalam saingan hari ini.
Sabah yang sebelum ini menduduki tangga teratas, kini mengumpul keseluruhan 44 pingat emas, 30 perak dan 24 gangsa setakat jam 7.30 malam tadi.
Selangor kini mendahului carta dengan 49 emas, 32 perak dan 27 gangsa, sekali gus mewujudkan jurang lima emas antara kedua-dua kontinjen.
Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum selamat buat Selangor memandangkan saingan Para SUKMA 2026 masih berbaki beberapa acara sebelum temasya melabuhkan tirai Khamis ini.
Sabah mencatat kutipan memberangsangkan hari ini apabila membawa pulang 16 emas, 14 perak dan lapan gangsa dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Para olahraga menjadi penyumbang terbesar dengan 10 emas, termasuk dua kemenangan yang menyaksikan atlet Sabah mencipta rekod baharu kejohanan.
Mukhriz Ameer Izzudin Abdul Rauf mencuri tumpuan selepas memenangi acara 200 meter T47 lelaki dengan catatan 22.770 saat yang merupakan rekod kejohanan.
Heronlee Wong turut mencipta rekod baharu selepas merangkul emas acara lempar cakera F37 lelaki dengan catatan 37.12 meter.
Dalam para renang, Sabah menambah empat emas menerusi Chia Faang Jann, Wahyu Eqwal Nazrey dan Suriyan Shah Malik.
Chia Faang Jann turut mencipta rekod kejohanan dalam acara 50 meter kuak dada SB4 lelaki dengan catatan 1:01.12, manakala Suriyan Shah Malik menyumbang dua emas menerusi 100 meter kuak lentang dan 100 meter gaya bebas S11 lelaki.
Dua lagi emas Sabah disumbangkan menerusi para ping pong dan para tenpin boling, masing-masing menerusi Brady Chin Zi Rong dalam perseorangan Kelas 9 lelaki dan acara beregu TPB1+TPB2/TPB3 campuran/terbuka.
Walaupun kini ketinggalan lima emas, Sabah masih mempunyai peluang untuk merampas kembali takhta sekiranya mampu mengekalkan momentum kutipan emas dalam baki pertandingan.
Persaingan antara Sabah dan Selangor dijangka terus sengit dalam dua hari terakhir, dengan setiap pingat emas bakal menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan keseluruhan Para SUKMA 2026.



