BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit ditahan polis di Kampung Darat, Menumbok, pada 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh ketika dihubungi Sabah Media hari ini mengesahkan tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan anggota Balai Polis Menumbok selepas menerima maklumat berhubung kehilangan buah sawit yang kerap berlaku di sebuah kebun milik pengadu.
Menurutnya, pengadu turut menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di kawasan kebun bersama sebuah kenderaan yang mengandungi beberapa tandan buah sawit.
“Walaupun ketika itu tiada bukti kukuh untuk mengesahkan buah sawit berkenaan diambil dari kebun milik pengadu, maklumat tersebut membantu pihak polis menjalankan tindakan susulan,” katanya.
Hasil tindakan anggota Balai Polis Menumbok, suspek berjaya dikesan sebelum ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk menjalani saringan air kencing.
Hasil saringan mendapati suspek positif methamphetamine.
Suspek kemudian diserahkan kepada BSJND IPD Beaufort untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



