HomeUtamaHidroponik BAKAT MAWILLA 2 jana lebih RM4,000 pendapatan

Hidroponik BAKAT MAWILLA 2 jana lebih RM4,000 pendapatan

Read Time:2 Minute, 16 Second

SANDAKAN: Projek hidroponik pintar yang dilaksanakan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di Kem Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan berjaya menjana pendapatan lebih RM4,000 menerusi tanaman sawi dan salad.

Projek kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari (FPL) itu mencatat pendapatan RM1,918 daripada sembilan pusingan tanaman sawi, manakala tanaman salad menghasilkan RM2,269 menerusi enam pusingan tanaman.

Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, Ts Dr Ag Sufiyan Abd Hamid, berkata pencapaian itu menunjukkan potensi sistem hidroponik bukan sahaja sebagai kaedah pertanian moden, malah boleh menjadi salah satu sumber penjanaan ekonomi komuniti.

Katanya, projek berkenaan turut memberi peluang kepada ahli BAKAT memperoleh kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk mengusahakan tanaman sayur dan salad secara lebih sistematik.

“Projek ini merupakan persediaan awal bagi isteri pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai BAKAT untuk mengusahakan tanaman sayur dan salad menggunakan sistem hidroponik.

“Di samping itu, ia turut meneroka potensi pertanian sebagai sumber penjanaan ekonomi kepada BAKAT, selain menyokong usaha Tanaman Dapur,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Penutupan Projek Pemindahan Ilmu Hidroponik Pintar Sayur Sawi dan Salad Komuniti Tertumpu BAKAT di Kem MAWILLA 2, Sandakan, baru-baru ini.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan dari 1 September 2025 hingga 2 Mei 2026 itu menerima peruntukan RM120,000 daripada Kementerian Pertahanan.

Menurutnya, sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi projek tanaman sawi dan RM60,000 lagi bagi tanaman salad yang menggunakan sistem hidroponik pintar.

Penyelaras Projek, Dr Siti Suliza Salamat, berkata seramai 16 peserta mengambil bahagian dalam projek berkenaan, dengan lapan peserta mengendalikan tanaman sawi dan lapan lagi tanaman salad.

Katanya, peserta menerima latihan menerusi tiga siri kursus yang meliputi pengurusan penyakit dan perosak, teknologi Internet of Things (IoT), sistem hidroponik dan pemasaran.

“Peserta turut diberi pendedahan mengenai pengurusan rumah hijau dan sistem penanaman secara sistematik, selain dibimbing dalam menangani masalah yang timbul sepanjang proses penanaman,” katanya.

Beliau berkata pemantauan berkala oleh pembantu penyelidik dilakukan setiap Isnin dan Jumaat, manakala penyelidik turut membuat pemantauan sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan operasi tanaman berjalan lancar.

Sementara itu, Ketua Peserta Tanaman Sawi, Nur Uzmana Husamudin, berkata projek berkenaan memberi pengalaman baharu kepada peserta dalam mengendalikan teknologi pertanian moden.

Katanya, peserta turut memperoleh kemahiran dalam pengurusan rumah hijau dan penyelesaian masalah berkaitan tanaman.

Ketua Peserta Tanaman Salad, Nurul Asyikin Ab Kadir, pula berkata pengalaman yang diperoleh sepanjang projek membantu peserta memahami kaedah pengurusan tanaman hidroponik dengan lebih teratur.

Menurutnya, kemahiran itu turut membuka peluang kepada peserta untuk meneroka aktiviti pertanian sebagai salah satu sumber pendapatan.

Projek berkenaan turut dinobatkan sebagai projek terbaik penanaman hidroponik oleh Kementerian Pertahanan.

Majlis penutupan disempurnakan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Jamaludin Sairi, yang turut menyampaikan sijil kepada peserta dan mengadakan lawatan ke tapak tanaman sawi serta salad di rumah hijau berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Aplikasi TPNS Smart mudahkan permohonan bantuan pendidikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular