HomeUtama42 notis kompaun dikeluarkan dalam Ops Penguatkuasaan Premis Makanan KK

42 notis kompaun dikeluarkan dalam Ops Penguatkuasaan Premis Makanan KK

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 42 notis kompaun dikeluarkan kepada pengusaha premis makanan atas pelbagai kesalahan kebersihan dan keselamatan makanan dalam Ops Bersepadu Penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Operasi yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu itu membabitkan 56 anggota dan dijalankan di beberapa lokaliti sekitar Asia City, Bandaran Berjaya, Api-Api dan Warisan Square.

Sebanyak 62 premis makanan diperiksa sepanjang operasi berkenaan, terdiri daripada 56 restoran, empat kiosk atau gerai serta dua bakeri.

Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan mendapati 12 premis perlu diambil tindakan penutupan.

Daripada jumlah itu, sembilan premis didapati mempunyai masalah urungan perosak termasuk tikus dan lipas, manakala tiga premis lagi memperoleh markah pemeriksaan kebersihan kurang daripada 65 peratus.

Sebanyak 42 Notis Kompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan atas pelbagai ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009).

Ketidakpatuhan yang dikesan antaranya membabitkan aspek kebersihan dan penyelenggaraan premis, kawalan perosak, pengurusan sampah serta pakaian dan kebersihan diri pengendali makanan.

Selain itu, pemeriksaan turut menemukan ketidakpatuhan berkaitan kaedah penyimpanan makanan yang boleh menjejaskan aspek keselamatan makanan sekiranya tidak ditangani.

Dalam pada itu, penguatkuasaan di bawah Akta 852 turut dijalankan sepanjang operasi dengan lapan Notis Borang 2 dikeluarkan.

Bagaimanapun, tiada sebarang rampasan barangan direkodkan dalam operasi berkenaan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, YBrs. Dr. Nirmal Kaur, turut hadir meninjau pelaksanaan pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh anggota di lapangan.

Operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu untuk memastikan pengusaha premis makanan mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

RELATED ARTICLES
Utama

HWKKS antara lokasi baharu laluan ‘Bas Pink’ di Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular