KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) antara beberapa lokasi baharu yang bakal dimasukkan dalam penjajaran lapan laluan Bas.My atau ‘Bas Pink’ bagi meningkatkan akses pengangkutan awam kepada orang ramai di Kota Kinabalu.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah), Datuk Phoong Jin Zhe berkata, penjajaran semula itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Anggota Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah Tahun 2026, hari ini.
Katanya, langkah berkenaan bertujuan mengoptimumkan perkhidmatan Bas.My selain memenuhi keperluan penumpang yang menunjukkan peningkatan ketara.
“Antara lokasi baharu dalam penjajaran laluan ini ialah Tanjung Aru, Klinik Luyang, HWKKS, Bandar Sierra dan Kota Kinabalu High School.
“Dengan penjajaran ini, perkhidmatan Bas.My dijangka dapat mencakupi sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama di kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Phoong, jumlah penumpang Bas.My sehingga 20 September lalu telah mencapai 367,798 orang, menunjukkan peningkatan penggunaan perkhidmatan berkenaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, proses penyelarasan bagi penjajaran laluan baharu itu dijangka selesai pada 15 Oktober ini.
Dalam pada itu, katanya, LPKP Sabah turut menyelaras usaha bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), DBKK dan pihak berkepentingan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan perkhidmatan bas.
“Antara kemudahan yang perlu diberi perhatian ialah hentian bas, lay-by dan kotak bas di lokasi-lokasi kritikal,” katanya.
Phoong turut mengarahkan supaya pemantauan dan penguatkuasaan terhadap operasi Bas.My dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan bas beroperasi secara teratur, mematuhi syarat operasi serta memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang.
Beliau berkata, penambahbaikan berterusan terhadap laluan dan kemudahan berkaitan penting bagi memastikan perkhidmatan Bas.My dapat memenuhi keperluan pengguna pengangkutan awam di Kota Kinabalu.



