HomeSukanPickleball galak anak muda amalkan gaya hidup sihat

Pickleball galak anak muda amalkan gaya hidup sihat

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran program pickleball mampu menjadi antara platform untuk menggalakkan golongan muda, khususnya pelajar, mengamalkan gaya hidup lebih sihat melalui aktiviti sukan dan riadah.

Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Datuk Martin Idang berkata, pendedahan kepada sukan berkenaan penting bagi memperkenalkan aktiviti riadah alternatif kepada golongan muda.

Katanya, sebahagian pelajar yang menyertai program berkenaan masih belum begitu mengenali atau biasa dengan sukan pickleball.

“Pelajar kita jemput sekali sebab kita mahu wujudkan kesedaran mengenai pickleball. Rata-rata ramai yang belum lagi begitu mengenali pickleball.

“Dengan pendekatan dan pendedahan pada hari ini, mereka boleh bawa dan beritahu kepada kawan-kawan, kemudian mula gaya hidup yang sihat dan menyertai aktiviti pickleball,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pickleball anjuran Beliawanis Gagasan Rakyat di sini.

Program berkenaan turut disertai lebih 20 pasukan kategori terbuka dan tujuh pasukan daripada kalangan pelajar.

Emmie berkata, penglibatan pelajar dalam program itu bukan sekadar untuk menyertai pertandingan, sebaliknya memberi mereka peluang mencuba sendiri sukan yang semakin mendapat perhatian golongan muda.

Menurutnya, pendedahan secara langsung dapat membantu peserta mengenali asas serta suasana permainan pickleball, selain berinteraksi dengan peserta lain yang mempunyai minat sama.

Katanya, perkembangan sukan pickleball dalam kalangan anak muda menunjukkan terdapat permintaan terhadap aktiviti sukan yang lebih santai, mudah disertai dan boleh dilakukan secara berkumpulan.

Beliau berkata, Beliawanis Gagasan Rakyat akan terus melihat bentuk aktiviti yang boleh memenuhi minat serta keperluan golongan muda, termasuk melalui penganjuran program sukan.

“Kita kena sentiasa memenuhi keperluan semasa anak-anak muda, jadi kita ikut tren dan kita harap dengan program sebegini kita dapat menarik minat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Emmie berkata aktiviti sukan juga boleh menjadi ruang untuk Beliawanis mendekati golongan muda di luar lingkungan keahlian pertubuhan itu.

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan lebih ramai anak muda mengambil bahagian dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada kehidupan seharian.

Beliau berkata usaha memperkenalkan pickleball kepada golongan muda akan terus diberi perhatian menerusi program yang bersesuaian dengan perkembangan dan minat semasa mereka.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah cipta hatrik juara keseluruhan Olahraga MSSM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular