KUALA LUMPUR: ASEAN menerima pakai definisi bersama serta senarai serantau 30 mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan rantaian nilai mineral dan meningkatkan daya tahan bekalan rantau ini.
Senarai itu merangkumi 16 mineral berdasarkan pertimbangan pengeluar dan 14 berdasarkan pertimbangan pengguna, dengan penyediaannya melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan kerajaan dan bukan kerajaan pada Mac, Jun dan September 2026.
Senarai berkenaan tertakluk kepada pengesahan negara anggota serta semakan berkala.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama hari ini Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) Ke-11, yang turut menerima pakai ringkasan dasar mengenai peluang kerjasama dalam rantaian nilai mineral.
Ringkasan dasar itu menjadi hala tuju kepada pembangunan Strategi Mineral Kritikal ASEAN dan pelan pelaksanaannya, susulan deklarasi pemimpin yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Manila pada 15 hingga 17 November lalu.
Kerjasama mineral kritikal ASEAN dilaksanakan secara sukarela untuk manfaat bersama, dengan mengambil kira keadaan serta keutamaan pembangunan setiap negara anggota.
Negara anggota kekal berdaulat terhadap sumber asli masing-masing dan berhak menentukan dasar perindustrian sendiri, manakala penyertaan dalam projek rentas sempadan tertakluk kepada undang-undang serta proses kelul yang berkenaan.
Mesyuarat turut memperakukan rangka kerja pemantauan dan penilaian Pelan Tindakan Kerjasama Mineral ASEAN (AMCAP-IV) 2026–2030 yang meliputi perdagangan dan pelaburan, pembangunan mineral mampan, pembinaan kapasiti serta maklumat dan pangkalan data mineral.
Rangka kerja itu bertujuan menilai kemajuan, mengenal pasti jurang pelaksanaan serta menyelaraskan tindakan dengan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030.
Antara usaha kerjasama lain yang direkodkan ialah pemulihan mineral kritikal daripada sisa elektronik menerusi simposium ASEAN–Amerika Syarikat pada Ogos, selain program mengenai amalan mampan bagi agregat batuan, pasir marin dan bahan binaan di Kuala Lumpur pada Oktober.
Projek pengurusan dan strategi mineral kritikal yang dibiayai Dana Kerjasama ASEAN–Korea bagi 2024–2026 turut melaksanakan 10 bengkel teknikal dan pangkalan data, lima kursus latihan serta dua persidangan.
Kira-kira 246 peserta dari negara anggota menerima tajaan penuh, manakala bengkel pembentangan hasil projek dijadual berlangsung pada Januari 2027.
Mesyuarat turut mengalu-alukan Pelan Kerjasama Mineral ASEAN Campur Tiga 2026–2031 bersama China, Jepun dan Korea Selatan yang meliputi penyelarasan dasar, perdagangan, perlombongan bertanggungjawab, pelaburan mampan, pemindahan teknologi dan pembangunan industri hiliran.
Selain itu, mesyuarat menetapkan AMMin sebagai mesyuarat tahunan serta menyelaraskan kepengerusian sektor mineral dengan kitaran ASEAN dari Januari hingga Disember.
Satu daripada dua mesyuarat kumpulan kerja bersama juga akan dinaik taraf menjadi mesyuarat penuh pegawai kanan mengenai mineral, manakala dokumen asas tadbir urus kerjasama mineral ASEAN akan dikemas kini bagi menyokong perubahan itu.



