HomeUtamaBayi Kembar Siam : Bayi pertama tunjuk perkembangan positif, seorang lagi masih...

Bayi Kembar Siam : Bayi pertama tunjuk perkembangan positif, seorang lagi masih guna bantuan pernafasan

Read Time:2 Minute, 25 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Bayi kembar siam yang berjaya dipisahkan menerusi pembedahan bersejarah di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) baru-baru ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Dr Yogendra A/L Panchalingam berkata, ia selepas salah seorang bayi kembar itu kini berada dalam keadaan baik, manakala seorang lagi masih menerima bantuan pernafasan.

Beliau berkata, perkembangan semasa kedua-dua bayi itu memberi harapan kepada pasukan perubatan yang bertungkus-lumus menjayakan pembedahan berisiko tinggi berkenaan.

“Untuk makluman, bayi kembar yang pertama berada dalam keadaan baik dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Bagaimanapun, bayi kedua masih belum menunjukkan perkembangan yang sama. Bayi itu masih menggunakan bantuan pernafasan dan kami terus berharap agar keadaannya akan bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan dan makan malam atas kejayaan pembedahan pemisahan kembar siam oleh pasukan perubatan HWKKS di sini pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun.

Dr Yogendra berkata, meskipun pembedahan itu berjaya dilaksanakan namun kedua-dua bayi masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.

Beliau berkata, seluruh warga HWKKS turut optimis kedua-dua bayi akan terus menunjukkan perkembangan positif hasil rawatan susulan yang sedang diberikan.

“Kami berharap kedua-dua bayi kembar ini akan terus menunjukkan perkembangan yang positif. Kami juga berharap kepakaran seperti ini akan terus diperkasakan dan kekal berkembang di negeri ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan pelbagai disiplin yang terlibat dalam menjayakan pembedahan tersebut.

Ini termasuklah doktor pakar, jururawat, kakitangan radiologi, pasukan pembedahan pediatrik, bedah saraf, pembedahan plastik, kakitangan makmal serta semua petugas lain yang memainkan peranan penting sepanjang proses rawatan.

Katanya, kejayaan pembedahan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen tinggi warga kesihatan di Sabah, malah membuktikan kemampuan pasukan perubatan tempatan mengendalikan prosedur yang kompleks dengan kerjasama pelbagai kepakaran.

Beliau berharap pencapaian itu akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kepakaran perubatan di Sabah, di samping terus memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu, HWKKS berjaya melakar sejarah dalam perkhidmatan kesihatan apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam jenis ‘pygopagus’ pada 2 Julai lalu di Dewan Bedah Utama, HWKKS.

Pasangan kembar dari kawasan pedalaman Sabah itu merupakan bayi perempuan pra-matang berusia 32 minggu yang mana salah seorang mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

JKNS dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan pembedahan pemisahan perlu dilakukan seawal umur 28 hari berbeza dengan pembedahan pemisahan yang biasanya dilakukan pada usia empat hingga enam bulan.

“Pembedahan ini dijayakan dengan kolaborasi pelbagai disiplin kepakaran termasuk pakar dari semenanjung yang terdiri daripada pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak dan Saraf Tulang Belakang.

“Turut terlibat pasukan Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi serta pasukan jururawat dan staf sokongan klinikal yang lain.

“Pasangan bayi kembar siam ini telah berjaya dipisahkan dan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemantauan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) HWKKS,” menurut kenyataan itu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pendaftaran SKDS di Sabah, Sarawak, Labuan meningkat lebih 28,000 syarikat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular