HomeUtamaSemangat hijrah bentuk generasi muda berilmu dan berintegriti – Hajiji

Semangat hijrah bentuk generasi muda berilmu dan berintegriti – Hajiji

Read Time:1 Minute, 37 Second

TUARAN : Generasi muda Islam di Sabah diseru menjadikan semangat hijrah sebagai budaya hidup dengan terus meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, sahsiah dan jati diri bagi melahirkan generasi berwibawa yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, golongan muda merupakan aset penting yang bakal menentukan masa depan masyarakat, negeri dan negara, justeru mereka perlu bijak memanfaatkan kemajuan teknologi digital untuk tujuan pembelajaran, pembangunan kemahiran, keusahawanan, penyebaran ilmu serta meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata, pada masa sama, generasi muda perlu mengelakkan penyalahgunaan teknologi, penyebaran berita palsu, buli siber dan gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka, selain memiliki daya tahan tinggi, berani menghadapi cabaran serta sentiasa berusaha memperbaiki diri.

“Dengan ilmu, akhlak dan semangat hijrah yang kukuh, generasi muda mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali.

Hajiji berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menghayati pengajaran daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang membawa kepada pembentukan masyarakat yang bersatu, progresif, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Beliau berkata, semangat hijrah perlu dijadikan landasan untuk meningkatkan usaha, memperkukuh perpaduan dan membina masyarakat yang lebih berdaya maju melalui perubahan sikap, pemikiran, amalan serta tindakan daripada keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik.

Katanya, nilai yang ditunjukkan menerusi peristiwa hijrah seperti perancangan, pengorbanan, kesabaran, keberanian dan keyakinan kepada Allah SWT perlu terus dihayati serta diamalkan dalam kehidupan seharian, di samping meninggalkan sikap negatif seperti malas, tidak berdisiplin, mementingkan diri sendiri, tidak amanah dan mudah berputus asa.

Beliau berkata, untuk menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini, setiap individu perlu mempunyai matlamat yang jelas serta berusaha bersungguh-sungguh mencapainya, selain menjadikan amalan menuntut ilmu, membaca, menghormati ibu bapa, membantu masyarakat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai sebahagian daripada kehidupan.

RELATED ARTICLES
Utama

Shamsul saman Jufazli, dakwa sebar fitnah di media sosial

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular