KOTA KINABALU : Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilaksanakan serentak di 15 buah kawasan Parlimen di Sabah mendapat sambutan amat menggalakkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, program yang dilaksanakan selama dua hari bermula Sabtu lalu itu berjaya mencatatkan kehadiran seramai 55,137 orang pengguna dan pembelian bernilai RM514,846.35.
Katanya, antara kawasan Parlimen terbabit adalah Kudat; Tuaran; Ranau; Sepanggar); Kota Kinabalu; Beaufort; Sipitang; Keningau; Tenom; Libaran; Sandakan; Silam; Semporna; Tawau dan Kalabakan.
“PJKM ini telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lalu di Lembai Pantai, Kuala Lumpur dan program ini diperluaskan ke Sabah dan telah dilaksanakan di seluruh negeri di Malaysia bermula pada 4 Disember 2021.
“Bagi negeri Sabah, PJKM telahpun dilaksanakan sebelum ini di Parlimen Putatan pada 4 Disember 2021 dan Parlimen Kota Marudu pada 12 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Georgie berkata, pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.
Katanya, program ini merupakan kerjasama di antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan MOF serta agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan Malaysia.
“Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula 4 Disember lalu merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di Malaysia.
“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat,” katanya.
Katanya, antara barang-barang yang dijual semasa program ini termasuklah Ayam; Ikan; Telur; sayur-sayuran; Minyak masak; Gula; Tepung; Beras; dan barangan yang telah diproses.
Sementara itu, Georgie berkata, melalui PJKM itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.
Katanya, KPDNHEP juga mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara.
“Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan penyaluran aduan, orang ramai khususnya rakyat Sabah boleh buat ke talian whatsapp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui emel ke [email protected],” katanya.