KOTA KINABALU : Pasukan futsal wanita Sabah membuka kempen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan tewas 2-5 kepada Selangor dalam aksi pertama Kumpulan B yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam hari ini.
Sabah berdepan tekanan sejak awal permainan apabila tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi Nur Shadrina Ahmad Johari.
Selangor kemudian menggandakan kelebihan menerusi Thivyashini A/P Jegatesan pada minit ke-14 sebelum Nur Shadrina sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-17.
Sabah bagaimanapun berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-18 menerusi Ara Tasyah Ramle, sekali gus memberikan sedikit harapan kepada skuad kendalian ketua jurulatih, Rosmadih Wasli.
Namun, Selangor terus menguasai permainan dan menambah dua lagi jaringan pada babak berikutnya menerusi Nur Hazellya Darwisyah Noran pada minit ke-27 dan Nur Dhiyaa Addin Mohd Azhari pada minit ke-34.
Sabah sekali lagi menemui sasaran menerusi Ara Tasyah pada minit ke-18, namun dua jaringan tersebut masih belum cukup untuk menghalang Selangor daripada membawa pulang kemenangan 5-2.
Mengulas kekalahan itu, Rosmadih mengakui anak buahnya gugup ketika bertemu Selangor yang beraksi di hadapan sokongan penyokong yang ramai.
Menurutnya, beberapa kesilapan sendiri selain kecuaian ketika bertahan dan kesilapan penjaga gol turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan Sabah.
“Gugup bila berjumpa tuan rumah. Ada beberapa kesilapan daripada pasukan sendiri, termasuk kecuaian ketika bertahan dan kesilapan penjaga gol.
“Bila penyokong ramai, ia juga menjadi faktor kepada kegugupan pasukan,” katanya.
Rosmadih bagaimanapun percaya pasukannya mampu bangkit dan memperbaiki kelemahan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Kita akan buat yang lebih baik daripada permainan hari ini, kurangkan lagi kesilapan sendiri dan bermain dengan semangat juang yang tinggi,” katanya.
Sabah kini perlu segera melupakan kekalahan tersebut dan memberi tumpuan kepada baki perlawanan Kumpulan B yang turut dihuni Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kelantan. – SABAH MEDIA / FOTO MSN SELANGOR



