HomeSukanSkuad wanita Sabah harap sokongan penyokong menjelang aksi AWCL 2026

Skuad wanita Sabah harap sokongan penyokong menjelang aksi AWCL 2026

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Seluruh penyokong di negeri ini diseru untuk memberikan sokongan padu kepada kepada pasukan bola sepak wanita Sabah yang akan berdepan cabaran di pentas Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AWCL) 2026 bermula Isnin ini.

Pengurus pasukan, Datuk Victor Ationg berkata, sokongan daripada penyokong amat penting bagi memberikan motivasi tambahan kepada pemain sepanjang mengharungi kejohanan yang akan bermula dari 17 hingga 23 Ogos ini.

Beliau berkata, sokongan itu bukan sahaja hadir dalam bentuk kehadiran di stadium, malah doa, mesej semangat dan kata-kata positif daripada penyokong juga mampu memberikan suntikan moral kepada skuad.

“Kepada seluruh penyokong kami di Sabah, kami memerlukan sokongan anda. Di mana sahaja anda berada, teruskan memberikan sorakan dan sokongan kepada para pemain kami.

“Setiap doa, setiap mesej semangat dan setiap kata-kata sokongan amat bermakna buat pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran jersi ketiga Bola Sepak Wanita Sabah sebagai persiapan menghadapi saingan AWCL 2026.

Menurutnya, kejohanan di peringkat Asia itu merupakan satu lagi detik penting dalam perjalanan Bola Sepak Wanita Sabah, sekali gus membuka peluang kepada pemain untuk membawa nama negeri ke pentas lebih tinggi.

Katanya, jersi yang digunakan bukan sekadar pakaian seragam pasukan malah ia melambangkan identiti, kebanggaan dan semangat Sabah.

“Setiap kali pemain kami menyarungkan jersi ini, mereka bukan sahaja mewakili diri sendiri, malah membawa nama Sabah, keluarga mereka, kelab, pasukan serta seluruh penyokong yang percaya kepada bola sepak wanita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan telah menjalani persiapan intensif bagi memastikan pemain bersedia dari segi fizikal, taktikal dan mental sebelum turun beraksi di kejohanan berkenaan.

Katanya, para pemain turut menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

Beliau yakin sokongan berterusan daripada penyokong akan membantu pemain mengekalkan motivasi dan keyakinan ketika berdepan pasukan yang mempunyai pengalaman serta kekuatan berbeza di pentas Asia.

“Kita mungkin berdepan pasukan yang mempunyai tahap pengalaman dan kekuatan berbeza di pentas Asia.

“Namun, saya benar-benar percaya bahawa semangat juang, kerja berpasukan dan keyakinan yang kita miliki mampu menjadikan kita sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Nadher Chan sumbang pingat kedua Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular