KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya lima lagi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung hari ini.
Sebanyak tujuh peluang pingat emas menjadi sandaran kontinjen itu menerusi sukan karate-do, memanah dan pelayaran.
Bagaimanapun, dua dari pingat emas itu telah berjaya diraih semalam menerusi acara pelayaran.
Karate-do menjadi penyumbang prospek emas terbesar apabila empat atlet Sabah berjaya mara ke peringkat akhir yang berlangsung di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC).
Antara atlet yang menjadi harapan ialah Mohamad Hazni Henry dalam acara individu kata, manakala tiga lagi atlet iaitu Ivy Olivera Donny, Adeola Fay Robert dan Nur Radhifah Fathiah Razmi akan beraksi dalam kategori masing-masing bagi memburu kilauan emas.
Selain itu, skuad memanah Sabah turut berpeluang menambah koleksi emas menerusi acara Recurve Elimination Round Berpasukan yang berlangsung di Stadium INSPEN, Bangi.
Pasukan yang dibarisi Aedan Chaw Zheng Zhe, Evan Rich Chong Qi Wei, Quik Chern Xin dan Aedan Chaw Zheng Zhe dijadualkan beraksi pada sebelah petang dan berpotensi menghadiahkan satu lagi pingat emas buat Sabah sekiranya mara ke peringkat akhir.
Sementara itu, sukan tinju turut berpeluang menyumbang pingat menerusi dua petinju yang berjaya melangkah ke peringkat akhir di Dewan Tuan Abdullah Mohamad Salleh.
Arthur Ayyavu Annaraj akan beraksi dalam kategori Featherweight 54 hingga 57 kilogram lelaki, manakala Abraam Doozafil Rycarl Kunon bakal turun dalam kategori Light Welterweight 60 hingga 63.5 kilogram lelaki.
Bagaimanapun, kedua-dua petinju Sabah dijamin sekurang-kurangnya pingat perak selepas berjaya mara ke final dan hanya selangkah lagi untuk menukar warna pingat kepada emas.
Secara keseluruhan, sebanyak 63 pingat emas, 63 perak dan 80 gangsa dipertandingkan pada hari ini, dengan Sabah berharap dapat menutup kempen kali ini dengan pencapaian cemerlang serta memperkukuhkan kedudukan dalam carta pungutan pingat keseluruhan. – SABAH MEDIA



