HomeUtamaTVET perlu diperkukuh bagi penuhi keperluan industri minyak dan gas Sabah

TVET perlu diperkukuh bagi penuhi keperluan industri minyak dan gas Sabah

Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing, khususnya dalam memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang semakin berkembang di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran memainkan peranan penting dalam usaha itu dengan memperbanyakkan kursus serta program berkaitan industri minyak dan gas bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan semasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif termasuk TVET yang kini dilihat sebagai laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti.

“Pada tahun ini, sejumlah RM39.24 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program pembangunan modal insan yang memberi tumpuan kepada TVET selain bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi, teknologi digital serta minyak dan gas.

“Turut diberi perhatian ialah kursus dan latihan bahasa, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), hospitaliti, keselamatan dan kesihatan, pertanian serta latihan dalam sektor perladangan kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun sempena perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, penubuhan Majlis TVET Sabah pada tahun lalu juga menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem TVET negeri dan diyakini mampu membawa anjakan paradigma dalam pembangunan pendidikan kemahiran.

“TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar pilihan, sebaliknya perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata aktiviti berkaitan minyak dan gas, pelancongan serta perdagangan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 28.3 peratus, diikuti sektor pembuatan (5.0 peratus), perlombongan dan pengkuarian (4.9 peratus) serta perkhidmatan (4.5 peratus).

“Perkembangan semua sektor ini memberi gambaran bahawa corak peluang pekerjaan di Sabah turut berubah mengikut perkembangan ekonomi dan keperluan industri, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja yang memiliki kemahiran bersesuaian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pasaran buruh Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila negeri ini merekodkan kira-kira 1.90 juta tenaga buruh pada suku kedua tahun 2026.

Daripada jumlah itu, seramai 1.23 juta penduduk bekerja manakala jumlah penganggur dianggarkan sekitar 106,600 orang.

Selain itu, katanya, usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya merekodkan sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan di Sabah bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Sabah memperoleh pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka.

“Justeru, penganjuran karnival kerjaya ini amat tepat pada masanya untuk meningkatkan penyertaan anak-anak muda, khususnya dalam industri minyak dan gas yang menawarkan prospek kerjaya luas di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, penyertaan 30 majikan yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan sepanjang karnival berkenaan membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada rakyat Sabah, khususnya golongan pencari kerja.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji iringi Perdana Menteri hadiri rundingan tahunan pemimpin Malaysia-Brunei Ke-27

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular