HomeSukanSUKMA XXII: Skuad memanah Sabah perbaiki pencapaian, serlah potensi pemanah muda

SUKMA XXII: Skuad memanah Sabah perbaiki pencapaian, serlah potensi pemanah muda

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Skuad memanah Sabah memperbaiki pencapaian pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dengan meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus menduduki tempat keempat dalam kutipan pingat keseluruhan bagi sukan itu.

Presiden Persatuan Memanah Sabah, Datuk Ram Singh menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang membanggakan, terutama selepas Sabah hanya meraih satu pingat perak dan berada di kedudukan tercorot pada SUKMA Sarawak 2024.

Beliau berkata, prestasi kali ini turut memperlihatkan potensi barisan pemanah muda Sabah untuk meraih lebih banyak pingat emas sekiranya diberikan pendedahan lebih luas menerusi kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai Presiden Persatuan Memanah Sabah, saya amat berbangga dengan pencapaian pasukan yang berjaya meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus meletakkan Sabah di tempat keempat keseluruhan dalam sukan memanah.

“Pemanah muda kita telah bekerja keras dan mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemenang pingat emas sekiranya diberikan pendedahan sewajarnya menerusi lebih banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya melihat sendiri prestasi mereka sepanjang SUKMA dan mereka menunjukkan kemampuan yang sangat baik,” katanya ketika dihubungi.

Dua pingat emas Sabah disumbangkan Evan Rich Chong Qi Wei menerusi acara Recurve Perseorangan Lelaki Individu dan Catherine Looi Mei Qi dalam acara Compound 50 Meter Wanita.

Catherine turut menyumbang pingat perak dalam acara Compound Perseorangan Wanita Individu, manakala Quik Chern Xin meraih gangsa menerusi acara Recurve 70 Meter Lelaki.

Ram berkata, persatuan memberi perhatian kepada proses pemilihan atlet selain menyediakan latihan secara berkala dan program motivasi tanpa mengabaikan pelajaran mereka.

“Saya berharap pemanah muda Sabah akan terus meningkatkan prestasi dan memburu pingat dalam kejohanan akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan mematuhi aspek keselamatan ketika latihan dan pertandingan serta mengingatkan atlet supaya menjauhi dadah dan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan masa depan mereka dalam sukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Persatuan Memanah Sabah, ahli jawatankuasa persatuan, jurulatih dan ibu bapa atas komitmen serta sokongan berterusan kepada barisan pemanah negeri.

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Skuad wushu pertahan dua pingat emas acara Sanda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular