HomeUtamaBelia 18 Hingga 30 Tahun Dapat Akses ILMUchat Pro Percuma Tiga Bulan

Belia 18 Hingga 30 Tahun Dapat Akses ILMUchat Pro Percuma Tiga Bulan

Read Time:1 Minute, 35 Second

KUALA LUMPUR: Golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun berpeluang menikmati langganan ILMUchat Pro secara percuma selama tiga bulan selepas melengkapkan latihan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform Rakyat Digital.

Kemudahan itu ditawarkan menerusi program AI Untuk Rakyat, inisiatif kebangsaan Kementerian Digital dengan kerjasama YTL AI Labs dan MyDIGITAL Corporation, yang menyasarkan penyertaan awal seramai 100,000 belia Malaysia.

Tawaran berkenaan mula tersedia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan merupakan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lepas ketika pelancaran AI Malaysia di Cyberjaya.

Menerusi inisiatif itu, peserta yang memenuhi syarat akan menerima akses tanpa had kepada ILMUchat Pro selama tiga bulan, berbanding kadar langganan biasa RM50 sebulan.

ILMUchat Pro merupakan pembantu AI yang dibangunkan dengan mengambil kira cara rakyat Malaysia berkomunikasi dan bekerja, termasuk keupayaan bertukar secara semula jadi antara Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Manglish.

Platform itu boleh dimanfaatkan untuk pelbagai urusan pembelajaran, pekerjaan dan tugasan harian termasuk merangka e-mel dan surat, menghasilkan poster serta grafik, menyediakan slaid pembentangan dan membangunkan prototaip aplikasi tanpa perlu menulis kod.

Ia turut boleh digunakan bagi mendapatkan bantuan berkaitan perkara seperti pertanyaan pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), permohonan geran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta permohonan pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs Foong Chee Mun berkata penyediaan akses berkenaan diharap dapat membantu merealisasikan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara peneraju AI.

“Kami berharap dapat memperkasakan generasi ini bukan sahaja untuk menggunakan AI, malah menjadi pembangun dan penyumbang yang mencorakkan masa depan AI Malaysia,” katanya.

Untuk menikmati tawaran berkenaan, peserta perlu log masuk ke Rakyat Digital dan melengkapkan modul pembelajaran yang ditetapkan sebelum memilih ILMUchat Pro pada papan pemuka masing-masing.

Mereka kemudian perlu log masuk ke ILMUchat menggunakan MyDigital ID bagi mengesahkan kelayakan dan mengaktifkan akses percuma selama tiga bulan.

Program itu adalah sebahagian usaha memperluas pengetahuan dan kemahiran AI dalam kalangan rakyat, seiring Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua PPS dibuka, lokasi kebakaran diisytihar kawasan bencana

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular