HomeSukanPiala FA : Kelebihan beraksi di Likas perlu dimanfaatkan Sabah

Piala FA : Kelebihan beraksi di Likas perlu dimanfaatkan Sabah

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menerima kunjungan Selangor FC dalam aksi Piala FA di Stadium Likas, jam 7.30 malam ini.

Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri mampu menjadi faktor penting buat pasukannya ketika berdepan Selangor yang turut berada dalam prestasi positif.

Menurutnya, sokongan padu penyokong di Stadium Likas bukan sahaja dapat mewujudkan suasana positif sepanjang perlawanan, malah mampu meningkatkan motivasi pemain untuk memberikan persembahan terbaik.

“Kelebihannya adalah bermain di hadapan Likas yang penuh. Saya mahu mengajak mereka datang ke stadium untuk menyokong kami,” katanya.

Garrido berkata, kehadiran penyokong amat diperlukan terutama ketika Sabah berdepan lawan berkualiti seperti Selangor dalam perlawanan yang dijangka berlangsung sengit.

Katanya, sokongan daripada penyokong juga boleh membantu pemain lebih bersemangat untuk menghadapi tekanan serta cabaran sepanjang perlawanan.

“Kami perlukan penyokong datang ke stadium jika kami mahu berkembang lebih cepat dan mempunyai peluang untuk menghadapi cabaran seperti ini,” katanya.

Sabah hadir ke perlawanan itu dengan keyakinan selepas mencatat dua kemenangan dalam dua aksi awal Liga Super, namun Selangor turut memiliki rekod sama.

Justeru, Garrido menjangkakan pertemuan di Likas itu bukan mudah dan kedua-dua pasukan akan turun dengan motivasi tinggi untuk memburu tiket ke pusingan seterusnya.

“Kami menjangkakan berdepan pasukan yang sangat bagus dan bermotivasi tinggi.  Saya pasti mereka juga menyasarkan untuk mara ke final Piala FA dan di atas kertas mereka jelas pilihan berbanding kami.

“Tetapi kita akan lihat apa yang berlaku di atas padang,” katanya.

Dalam pada itu, pertemuan Sabah dan Selangor kali ini turut mengimbau aksi dramatik Piala FA musim lalu apabila Sabah menyingkirkan pasukan berkenaan menerusi penentuan penalti selepas agregat berkesudahan 5-5.

Walaupun belum menjadi sebahagian daripada pasukan Sabah ketika itu, Garrido mengakui kejayaan tersebut merupakan pencapaian besar dan berharap skuad kendaliannya mampu mengulangi keputusan berkenaan.

“Saya masih belum berada di sini ketika itu, tetapi itu adalah satu keputusan yang besar. Sudah tentu bagus jika kami dapat mengulanginya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Dua kemenangan awal belum membuktikan kekuatan sebenar Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular