KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) tampil membantu meringankan beban mangsa kebakaran di Kampung Numbak, Karambunai, menerusi sumbangan Ikan Rakyat Sabah.
Sumbangan berkenaan diserahkan Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karambunai, Nordin Ludah, untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian itu, hari ini.
Turut hadir pada majlis penyerahan bantuan berkenaan ialah wakil Persatuan Perikanan serta pemilik kapal Pantai Barat Sabah yang turut bersama-sama menjayakan usaha berkenaan.
Burhan berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan SAFMA dan komuniti industri perikanan terhadap masyarakat yang ditimpa musibah.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa serta membantu memenuhi keperluan makanan harian mereka.
“Dalam keadaan seperti ini, sokongan dan keprihatinan daripada pelbagai pihak amat penting bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan sementara menjalani proses pemulihan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Perikanan dan pemilik kapal Pantai Barat Sabah atas kerjasama serta sokongan dalam menjayakan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa.
Menurutnya, SAFMA akan terus menyokong usaha kebajikan dan bantuan kemasyarakatan, khususnya ketika masyarakat berdepan bencana dan musibah.



