KALABAKAN: Seramai 115 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan menyertai Mini Karnival Hari Nyamuk sempena Hari Nyamuk Sedunia yang dianjurkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai malaria dan penyakit bawaan nyamuk, selain memberi kefahaman mengenai kaitan antara perubahan alam sekitar dengan kesihatan manusia.
Program hasil kerjasama Pusat Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Borneo (BMHRC) UMS, National University of Singapore (NUS) dan PACOS Trust menerusi SENSOR Project itu turut memberi penekanan terhadap pendidikan kesihatan, kesedaran alam sekitar dan penglibatan komuniti.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk permainan papan “Selamatkan Kampung Kita”, ceramah berkaitan nyamuk dan penyakit bawaan nyamuk serta aktiviti interaktif mengenai perubahan alam sekitar dan langkah pencegahan penyakit.
Konsep One Health yang mengaitkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar turut diperkenalkan bagi membantu pelajar memahami hubungan rapat antara kesihatan dengan keadaan persekitaran.

Penceramah dan wakil UMS, Dr Siti Asmah Muslim berkata, pendidikan kesihatan dalam kalangan generasi muda penting dalam membentuk komuniti yang lebih peka terhadap ancaman penyakit serta perubahan alam sekitar.
“Meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda merupakan satu langkah penting dalam membina komuniti yang lebih sihat dan berdaya tahan.
“Melalui program ini, kami berharap dapat membantu pelajar memahami hubungan antara perubahan alam sekitar, nyamuk dan kesihatan manusia, khususnya risiko yang berkaitan dengan penyakit bawaan nyamuk dan penyakit zoonotik,” katanya.
Beliau berkata, pengetahuan yang diperoleh pelajar diharap dapat dikongsikan bersama keluarga dan komuniti masing-masing, sekali gus membolehkan mereka berperanan sebagai duta muda dalam usaha pencegahan penyakit serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Menurutnya, pendekatan pendidikan kesihatan tidak semestinya terhad di dalam bilik darjah, sebaliknya boleh disampaikan melalui kaedah kreatif dan interaktif bagi membantu pelajar menghubungkan ilmu yang dipelajari dengan keadaan sebenar di persekitaran mereka.
Program berkenaan turut membuktikan kepentingan penglibatan komuniti dan pendidikan awal dalam meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap risiko penyakit bawaan nyamuk serta kepentingan hubungan seimbang antara manusia, haiwan dan alam sekitar.



