TAWAU: Tindakan seorang mandor membuat pemerhatian terhadap dua lelaki yang memasuki sebuah ladang di Batu 24, Jalan Apas Balung pada lewat malam berjaya menggagalkan cubaan mencuri buah kelapa sawit, Sabtu lalu.
Seorang lelaki warga asing berusia 30-an ditahan ketika dipercayai sedang mengait buah kelapa sawit, manakala rakannya berjaya melarikan diri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.31 malam ketika mandor ladang berusia 42 tahun itu melihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal memasuki kawasan ladang dengan membawa sabit, lampu suluh dan parang.
“Mandor berkenaan bersama rakannya kemudian membuat pemerhatian sebelum menahan seorang daripada lelaki terbabit yang dipercayai sedang mengait buah kelapa sawit, manakala seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata, ketika itu suspek dipercayai sudah mengait dan mengumpulkan 30 tandan buah sawit di satu kawasan lapang dengan nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM400.
Katanya, suspek turut mengaku memasuki kawasan ladang berkenaan bersama rakannya yang melarikan diri dengan niat mencuri buah kelapa sawit.
“Mandor berkenaan kemudian membawa suspek ke Balai Polis Sri Indah dan menyerahkannya kepada polis kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di Malaysia.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut dengan merakam percakapan suspek, pengadu dan saksi berkaitan selain berusaha mengesan rakan suspek yang berjaya melarikan diri.
Katanya, polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan mencuri hasil pertanian bagi memastikan keselamatan harta benda serta kepentingan pengusaha ladang di daerah ini sentiasa terpelihara.



