HomeUtamaAplikasi TPNS Smart mudahkan permohonan bantuan pendidikan

Aplikasi TPNS Smart mudahkan permohonan bantuan pendidikan

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Pelancaran ‘TPNS Smart Application’ esok dijangka memudahkan pelajar di negeri ini mendapatkan maklumat dan membuat permohonan bantuan pendidikan menerusi Tabung Pendidikan Kerajaan Negeri Sabah (TPNS).

Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengenalan aplikasi berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh penyampaian bantuan pendidikan dengan memanfaatkan kemudahan teknologi digital.

Menurut KYS, aplikasi itu turut menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai pelajar yang layak memohon bantuan menerusi inisiatif TPNS yang bertemakan ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’.

“Penganjuran majlis ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai permohonan melalui aplikasi TPNS Smart Application,” menurut kenyataan itu di sini sempena Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan pelancaran aplikasi berkenaan.

Majlis itu dijadual berlangsung esok dan dijadual akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji  Noor, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Pada majlis itu, kira-kira 362 penerima dijangka menerima pelbagai kategori bantuan pendidikan.

Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Pendidikan One-Off kepada pelajar di peringkat Sijil, Asasi, Diploma, Ijazah, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Diploma in Islamic Judicial and Advocatory Practice (DJAP), Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Bantuan turut meliputi pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara, selain Honorarium Pelajar Cemerlang STPM, Honorarium Pelajar Cemerlang MUET dan Honorarium Pelajar Terbaik STPM.

Turut disediakan ialah Bantuan Kewangan Sekolah Terkesan Banjir, Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU), Bantuan Yuran Pengajian Pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah serta Bantuan Yuran Pengajian University College Sabah Foundation.

KYS berkata, TPNS merekodkan lebih 13,000 penerima manfaat bantuan sepanjang tahun ini.

Jumlah berkenaan menunjukkan skop bantuan yang disediakan bagi menyokong pelajar Sabah dalam melanjutkan pendidikan di peringkat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Selain memudahkan akses kepada bantuan, pelancaran aplikasi berkenaan turut diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar mengenai peluang pembiayaan pendidikan yang tersedia.

Usaha itu juga selaras dengan komitmen KYS yang sepanjang 60 tahun penubuhannya terus menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan.

RELATED ARTICLES
Utama

Hidroponik BAKAT MAWILLA 2 jana lebih RM4,000 pendapatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular