HomeUtamaBeliawanis mahu dekati komuniti, tampil sebagai platform pemerkasaan wanita muda

Beliawanis mahu dekati komuniti, tampil sebagai platform pemerkasaan wanita muda

Read Time:1 Minute, 39 Second

PUTATAN : Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu memperluas pendekatan kepada komuniti luar menerusi pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita muda.

Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan Beliawanis bukan sahaja tertumpu kepada ahlinya, malah dapat mendekati dan memahami keperluan komuniti secara lebih menyeluruh.

Katanya, penganjuran program sukan seperti pickleball menjadi antara medium untuk Beliawanis berinteraksi secara langsung dengan komuniti, khususnya golongan muda.

“Signifikannya ialah kita memberikan kesedaran mengenai Beliawanis. Kita teruskan penganjuran program sebegini bukan sahaja kepada ahli Beliawanis, tetapi turut menjangkau komuniti di luar.

“Kita mahu mereka melihat bahawa Beliawanis bukan sahaja berkaitan parti politik, tetapi turut memberi perhatian kepada pemerkasaan wanita muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pickleball anjuran Beliawanis di sini.

Menurut Emmie, pendekatan mendekati komuniti menerusi aktiviti santai dan bersesuaian dengan minat golongan muda dapat membuka ruang kepada interaksi serta mendapatkan maklum balas secara langsung.

Katanya, Beliawanis juga mahu memperluas programnya agar merangkumi pelbagai aspek keperluan golongan muda, termasuk sukan, kebajikan, pembangunan kemahiran diri dan keusahawanan.

“Kita cuba memenuhi semua aspek. Antaranya ialah aspek kebajikan dan baru-baru ini kita menjalankan Beliawanis Prihatin.

“Kita juga cuba sedaya upaya secara menyeluruh memenuhi kehendak dan keperluan anak-anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, Emmie berkata, Beliawanis merancang memberi tumpuan kepada program berkaitan pemasaran digital selepas ini, khususnya untuk membantu usahawan muda dan wanita muda.

Katanya, pendedahan dalam bidang berkenaan penting bagi membantu golongan muda meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang dalam bidang keusahawanan.

Selain itu, beliau berkata, program kemasyarakatan yang dianjurkan turut menjadi ruang untuk menyampaikan maklumat berkaitan usaha kerajaan kepada masyarakat.

“Kita sekarang adalah kerajaan dan kita mahu memberikan maklumat berkenaan kerajaan serta pendedahan mengenai usaha-usaha kerajaan pada masa kini,” katanya.

Emmie berkata, pendekatan berkenaan akan diteruskan melalui pelbagai program yang dapat menghubungkan Beliawanis dengan komuniti secara lebih dekat.

Katanya, Beliawanis mahu memastikan aktiviti yang dianjurkan bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi turut memberi manfaat dari segi pembangunan golongan muda, khususnya wanita.

RELATED ARTICLES
Utama

Takwim Jualan Rahmah diperluas, maklumat dipamer di lokasi awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular