BERNAMA
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah (SM) Tshung Tsin Sabah yang muncul juara pada Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan Perdana Menteri.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pemenang dan finalis cabaran berkenaan yang membuktikan kreativiti, daya fikir dan potensi besar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Penyertaan 18,671 pasukan melibatkan lebih 56,000 pelajar dari seluruh negara memperlihatkan potensi besar anak muda kita yang mesti terus dipupuk demi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu menerajui masa depan negara.
“Syabas dan teruskan kecemerlangan,” katanya dalam hantaran itu.– BERNAMA


