KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menutup sementara beberapa taman awam di bandaraya Kota Kinabalu bermula esok sehingga 1 Januari 2022.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, tindakan itu merupakan langkah kawalan pencegahan penularan wabak COVID-19.
Katanya, ia juga selaras dengan prosedur standard operasi (SOP) Fasa 4 yang dikemaskini pada 28 Disember 2021.
“Antara taman-taman awam yang terlibat ialah Taman Awam Teluk Likas; Taman Awam Teluk Likas 2 dan Pantai Tanjung Aru 1.
“Penutupan ini akan bermula pada 31 Disember bermula jam 1 petang sehingga 1 Januari 2022 jam 6 pagi,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Noorliza berkata, DBKK ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak mengunjungi dan menggunakan taman-taman tersebut semasa tempoh penutupan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak berkenaan.