KOTA KINABALU: Laksamana Madya Dato’ Ahmad Shafirudin Abu Bakar secara rasmi dilantik sebagai Panglima Armada Timur ketujuh selepas mengambil alih jawatan itu daripada Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi Idris pada 20 Oktober lalu.
Majlis Serah Terima Tugas Panglima Armada Timur itu disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin Taha, di Dewan Sepanggar, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu.
Pelantikan itu menjadikan Ahmad Shafirudin sebagai panglima ketujuh sejak penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur pada April 2017.
Majlis dimulakan dengan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas, diikuti penyerahan Nota Serah Tugas daripada Khir Junaidi kepada penggantinya.
Upacara diteruskan dengan penurunan insignia pemerintah oleh Timbalan Panglima Tentera Laut sebelum insignia berkenaan disematkan kepada panglima baharu.
Penyerahan teropong turut diadakan sebagai simbolik peralihan pemerintahan dan amanah kepimpinan Armada Timur.
Ahmad Shafirudin, yang berasal dari Kuala Kedah, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan ketenteraan laut selepas menyertai TLDM pada 1989.
Sebelum dilantik ke jawatan berkenaan, beliau berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Strategi di Markas Tentera Laut.
Pelantikan itu turut mencerminkan kepercayaan dan sokongan kepimpinan tertinggi TLDM terhadap keupayaan beliau untuk meneruskan kecemerlangan Armada Timur.



