HomeUtamaLaluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari Kiau dilancar 16 Januari 2027

Laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari Kiau dilancar 16 Januari 2027

Read Time:2 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU : Laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari Kampung Kiau, Kadamaian, bagi fasa pertama membabitkan laluan Kiau-Marai-Parai akan dilancarkan pada 16 Januari 2027, sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick, berkata pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu dari sebelah Kadamaian adalah antara fokus utama Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035.

Beliau yakin pembangunan berkenaan mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya melalui aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi dan komuniti.

Katanya, beliau menghargai inisiatif Taman-Taman Sabah (TTS) dalam membangunkan potensi pelancongan di kawasan Kadamaian, termasuk laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari Kiau, pembangunan Puncak Sayap serta potensi pelancongan Minitinduk Gorge, Gunung Nungkok dan Melangkap.

“Saya yakin pembangunan Gunung Kinabalu sebelah Kadamaian merupakan ‘game changer’ kepada aktiviti ekonomi rakyat Sabah di Kadamaian,” katanya selepas mengadakan kunjungan kerja ke Ibu Pejabat TTS di sini, pada Selasa.

Pada kunjungan itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menerima taklimat daripada Pengarah TTS, Datuk Dr Maklarin Lakim, mengenai pelaksanaan dan perancangan pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu dari sebelah Kadamaian.

Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan berkenaan turut disokong melalui penyediaan infrastruktur, termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Kadamaian.

“Saya akan memainkan peranan sebagai ADUN Kadamaian untuk melengkapkan usaha-usaha TTS ini, khususnya berkaitan dengan keperluan peruntukan pembangunan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maklarin atas kesudian menerima kunjungan berkenaan serta memberikan penerangan mengenai perkembangan dan perancangan pembangunan pelancongan di Kadamaian.

Turut menyertai kunjungan itu ialah wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) dan Sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027.

Sementara itu, berdasarkan taklimat TTS, laluan eksklusif pendakian Kiau-Marai-Parai bagi fasa pertama mempunyai jarak sejauh tujuh kilometer, bermula dari Kampung Kiau Nuluh pada ketinggian 977 meter hingga ke Marai-Parai pada ketinggian 1,652 meter dari aras laut.

Ekspedisi saintifik Marai-Parai yang dilaksanakan pada 7 hingga 20 Oktober 2024 mengenal pasti sebanyak 25 lokasi berpotensi sebagai tarikan utama sepanjang laluan pendakian berkenaan.

Antaranya termasuk Minitinduk Gorge yang merupakan pintu masuk lama ke Gunung Kinabalu menerusi laluan jejak pendakian Sir Hugh Low pada 1851.

Laluan itu turut menawarkan keistimewaan dari segi kepelbagaian flora endemik, landskap dataran tinggi serta kewujudan spesies tumbuhan periuk kera seperti Nepenthes rajah, Nepenthes lowii dan Nepenthes edwardsiana.

Berdasarkan pelan pembangunan keseluruhan, laluan pendakian dari Kampung Kiau Nuluh melalui Marai-Parai dan West Gurkha Hut hingga ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu, Low’s Peak, membabitkan jarak sejauh 15.28 kilometer.

Keseluruhan perjalanan sehingga ke Pintu Timpohon pula dianggarkan sejauh 24 kilometer.

Taklimat itu turut mengetengahkan potensi pembangunan Kadamaian sebagai hab ekopelancongan luar bandar berasaskan komuniti, khususnya di kawasan Kiau, Melangkap, Sayap dan Tambatuon.

Selain Marai-Parai, antara lokasi yang berpotensi dibangunkan sebagai tarikan pelancongan termasuk Puncak Sayap pada ketinggian 3,050 meter, Gunung Nungkok, air terjun, sungai dan hutan asli, selain keunikan budaya serta adat masyarakat setempat.

Daripada keseluruhan kawasan seluas 75,370 hektar Taman Kinabalu, sebanyak 25,700 hektar atau 34.1 peratus terletak dalam daerah Kota Belud, manakala 42.1 peratus di Ranau dan 23.8 peratus lagi di Kota Marudu.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia sasar 10,000 hektar kawasan tanaman koko menjelang 2030

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular