HomeUtamaLelaki warga emas maut digilis kereta api di Tenom

Lelaki warga emas maut digilis kereta api di Tenom

Read Time:1 Minute, 6 Second

TENOM: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai digilis kereta api ketika menggunakan troli kayu buatan sendiri di landasan kereta api di Tenom, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, mangsa berusia 63 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom selepas selesai aktiviti berkebun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom pada jam 1.20 tengah hari selepas dimaklumkan pihak polis berhubung kejadian itu.

Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 1.32 tengah hari mendapati mangsa berada di bawah gerabak kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.

“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum dipindahkan ke tempat selamat.

“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa dipercayai mempunyai masalah pendengaran.

Pasukan bomba turut menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian kerana laluan terhad dan tidak dapat dilalui jentera, menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung menggunakan troli bermotor buatan sendiri.

Operasi melibatkan enam anggota BBP Tenom itu terkawal pada jam 1.53 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.04 petang.

RELATED ARTICLES
Utama

Angkut dadah dari Lembah Klang ke Sabah – 13 ditahan termasuk...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular