RANAU: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di negara ini diseru supaya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam bidang tugas dan menjadi anggota yang sentiasa bersiap siaga menjalankan tugas dan bertanggungjawab menggalas amanah pada bila-bila masa diperlukan.
Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, seorang anggota RELA mempunyai tanggungjawab dan harus berintegriti serta sentiasa bersikap positif terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan dengan mempraktikkan pengalaman, pengetahuan, kepakaran serta kemahiran yang dimilikinya apabila mendepani tugas sama ada di hutan, sungai ataupun di lautan, tidak mudah patah semangat meskipun mendepani situasi getir atau kecemasan.
“”Justeru setiap anggota RELA perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan baharu dari masa ke semasa mengikut arus perdana negara dan keperluan semasa.
“Oleh sebab itu, anggota RELA harus mengikuti Kursus, Seminar atau apa sahaja latihan kemahiran yang perlu dikuasi sebagai seorang anggota RELA yang sentiasa peka terhadap keperluan organisasi, masyarakat dan negara,” tegas Jonathan ketika berucap merasmikan majlis penangguhan Kursus Asas Penyelamat, Mengendali Perahu Arus Deras dan Kursus Kepimpinan Rela daerah Ranau Siri 1/2022 di Kolam Rekreasi Bongkud terletak 15 Kilometer dari pekan di sini yang berlangsung selama seminggu dan berakhir hari ini (29 Januari).
Jonathan memuji Jawatankuasa penganjur (RELA Daerah Ranau) kerana berjaya mengelola kursus itu dengan lancar dan teratur mengikut jadual yang ditetapkan.
“Ini satu kejayaan pihak RELA Daerah Ranau, syabas dan tahniah pastinya kursus seperti ini telah memberi banyak pengalaman baru dan berguna kepada peserta.
“Saya mengharapkan kepada peserta supaya dapat mempraktikkan pengetahuan yang diperolehi apabila bertugas kelak.
“Kursus yang anda ikuti hari ini, bukanlah yang terakhir sebaliknya satu permulaan dan pastinya ada lagi kursus akan menyusul dan saya sarankan agar apa juga kursus yang diadakan kelak, hendaklah disertai demi kebaikan diri sendiri, pasukan (platun) seluruhnya”, tegas Jonathan yang turut memuji kecekapan para peserta yang menyertai Demontrasi Mengendali Perahu Arus Deras dan Menyelamat.
Turut hadir Pegawai Operasi Rela Sabah, PPR Awang Damit Pg Yusuf, mewakili Pengarah Rela negeri Sabah, TPjR Mohammad Pauzi Juhmat dan Pegawai Rela daerah Ranau, PPjR Mairy Yubin.
Dalam majlis itu, seramai 30 peserta menerima Sijil Penyertaan manakala semua Jurulatih turut menerima Sijil Penghargaan masing-masing.