TAWAU: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,420 karton rokok tidak sah (tidak bercukai) menerusi rondaan Op BENTENG BERSAMA di kawasan tanggungjawab ATB 2 Tawau pada Khamis lalu.
Menurut kenyataan media ATB 2 Tawau hari ini, kejayaan ini adalah hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) yang telah membuat tinjauan dan pengesanan terhadap dua buah van jenis Toyata Hiace berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di Kampung Sri Aman, Tawau pada 7 April 2022, jam 9.00 malam.
“Tim QRF telah bertindak mendekati dan melaksanakan pemeriksaan awal terhadap kedua-dua buah van tersebut dan mendapati, kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau serta telah ditinggalkan setelah menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut.
“MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau.
“Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 3,420 karton rokok seludup adalah dianggarkan bernilai RM 410,200.00 manakala dua buah van jenis Toyata Hiace dianggarkan bernilai RM 216,00.00. Nilai keseluruhan rampasan adalah
bernilai RM 626,200.00.
“Kesemua barang rampasan dan kenderaan telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 7.10 petang untuk siasatan serta tindakan lanjut PDRM,” kata kenyataan itu.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, Tim QRF dan PDRM atas kejayaan tersebut.
“Kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM dan PDRM berada ditahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan
kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah.
“Kejayaan ini membuktikan sempadan Perairan Pantai Timur Sabah sentiasa diawasi ketat sebilang masa oleh pasukan keselamatan sekaligus membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan negara,” kata Abdul Karim.
Melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di bawah naungan ATB 2 secara berterusan, beliau menjamin keselamatan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap terbaik.
Beliau turut menegaskan ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.