KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah menggesa pengusaha kafe di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak menaikkan harga makanan.
Presidennya David Chan berkata tinjauan pihaknya mendapati ada pengusaha kafe IPT mendadak menaikkan harga makanan sekembalinya mahasiswa ke kampus awal bulan ini.
Beliau mendapati majoriti mahasiswa terkesan disebabkan kenaikan harga makanan.
“Persatuan Pengguna berpandangan perkara ini terjadi disebabkan peningkatan harga bekalan mentah di pasaran seperti ayam, telur, minyak dan roti yang secara tidak langsung memberi kesan kepada peniaga khususnya di universiti.
“Persatuan Pengguna mengesyorkan pemberian subsidi kepada pengusaha kafe di universiti supaya kenaikan harga barangan mentah tidak mempengaruhi harga makanan di universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan kerajaan negeri untuk mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah kenaikan harga makanan di kafe IPT.
Sementara itu, David turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong diatas tindakan mencari penyelesaian terbaik berhubung kenaikan harga tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena Aidil Fitri ini.