PITAS: Penduduk luar bandar di negeri ini diseru untuk terus berusaha bagi merebut peluang yang ditawarkan menerusi program yang dilaksanakan kerajaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, masyarakat juga perlu mengenal pasti peluang yang ada seterusnya mengambil tindakan untuk merealisasikan impian mereka.
“Kerajaan hanya mampu memberikan platform dan peluang kepada penduduk bagi mengubah pola kehidupan mereka sekarang untuk mereka keluar dari zon selesa, dan kini terpulang kepada peserta untuk berusaha gigih bagi memastikan kehidupan mereka terbela.
“Kalau bukan kita sendiri yang menjayakan apa yang sudah direncanakan, semuanya pasti akan menjadi sia-sia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Peserta Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kiandut Pitas, di Perkarangan Surau MESEJ Kiandut disini semalam.
Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Harun Durabi.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pihaknya berharap peserta MESEJ akan dapat bekerjasama dengan syarikat usahasama (Retha Bird Nest Pitas Sdn.Bhd) untuk memastikan visi dan misi Bengkel Rumah Burung Walit terlaksana.
Katanya, pada penghujung hujung tahun lalu, pihaknya telah mengadakan lawatan ke MESEJ Kiandut dan mendapati perlu adanya sebuah bengkel sarang burung Walit.
“Saya dimaklumkan bahawa MESEJ Kiandut merupakan sebuah projek yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan peserta seramai 40 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah berdaftar dalam sister e-Kasih, dan salah satu projek utama yang akan diberikan kepada MESEJ adalah sebuah perusahaan penternakan burung walit secara berkelompok,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah memberi amanah kepada KPLB Sabah untuk melihat kedudukan sebenar keperluan rakyat yang perlu dibela, dan sentiasa mengambil berat terhadap keluarga yang memerlukan pembelaan.
“Atas keprihatinan dan tanggungjawab pihak kerajaan, Bengkel Memproses Rumah Burung Walit MESEJ Kiandut ini telah dibina untuk membantu para penduduk mencari sumber pendapatan.
“Disebabkan usaha sama, syarikat Retha Bird Nest Pitas Sdn.Bhd, Pegawai Daerah Pitas bersama para peserta MESEJ, pihak syarikat usaha sama juga akan membantu membaik pulih semua kemudahan yang ada seperti infrastruktur di MESEJ Kiandut,” katanya.
Sementara itu, Jahid turut berharap kerjasama dan komitmen penuh peserta kepada syarikat yang membantu dalam memastikan MESEJ Kiandut terus membangun dan maju seiring dengan kemajuan pembangunan negara.
“Semoga kejayaan masyarakat luar bandar khususnya di daerah Pitas tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya kita mahu melihat pencapaian yang jauh dan lebih daripada hari ini,” katanya.
Untuk rekod, Bengkel Rumah Burung Walit MESEJ Kiandut telah mula dibina pada 15 November 2021, dan siap pada 20 Disember 2021 dengan menelan kos sebanyak RM150,000.