HomeIsu tempatanJIM Sabah perkenal PMS kepada komuniti Pagalungan

JIM Sabah perkenal PMS kepada komuniti Pagalungan

Read Time:2 Minute, 1 Second

NABAWAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan program jangkauan luar (outreach) di kawasan pedalaman khususnya di Kampung Pegalungan disini untuk memberi peluang penduduk mendapatkan Pas Menyeberang Sempadan (PMS) Malaysia-Indonesia.

Pengarahnya, SH Sitti Saleha Habib Yusof berkata, program yang dilaksanakan 25 anggota JIM ke kampung itu bertujuan untuk mempromosikan perkhidmatan operasi imigresen khususnya permohonan PMS di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan.

“Antaranya, kita mahu memperkenalkan awal mengenai pengeluaran PMS bagi rakyat Malaysia khususnya kepada penduduk kawasan pedalaman dalam lingkungan radius 30 kilometer (km) dari sempadan Indonesia.

“Pas tersebut hanya sah digunakan dalam lingkungan radius 30 km dari sempadan Indonesia ke daerah Keningau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena program tersebut di Balai Budaya, Kampung Pagalungan, di sini kelmarin.

Sitti Saleha berkata, bagi rakyat Indonesia yang mahu berurusan ke Keningau perlu mempunyai Pas Lintas Batas (PLB) manakala penduduk Malaysia yang ingin menyeberang ke negara Indonesia hendaklah mempunyai PMS dan itu adalah dokumen menggantikan Pasport Antarabangsa.

Katanya, PMS hanya perlu dibayar dengan bayaran RM20 sahaja, penduduk tidak perlu lagi memohon atau memiliki pasport antarabangsa untuk pergi ke Labang, Lumbis dan Mensalong, Indonesia yang radiusnya 30 km dari sempadan Malaysia.

“Pergerakan komuniti di Pagalungan tersebut agak aktif atas beberapa faktor antara satunya adalah hubungan kekeluargaan antara komuniti sempadan tersebut.

“Saya menyeru komuniti di daerah tersebut untuk memohon dan memiliki PMS sebagai dokumen sah bagi pergerakan antarabangsa dua negara agar mengelakkan ditahan atau ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Tambah beliau, kelak ibu Kota Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur yang mana pintu masuk Labang dan Bantul, Indonesia adalah yang terdekat dengan sempadan Malaysia.

“Kita menjangkakan laluan Labang dan Bantul, Indonesia bakal menjadi laluan utama sekiranya ibu kota Indonesia mula beroperasi seterusnya Pagalungan akan menjadi kawasan yang aktif dari segi pergerakan keluar masuk sempadan antarabangsa dari Indonesia ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata pos kawalan pintu masuk antarabangsa di kawasan pedalaman yang sudah diwartakan adalah di Long Pasia, Sipitang dan Pagalungan, Nabawan.

Sebagai rekod, Pos Kawalan Imigresen Pagalungan mempunyai dua operasi iaitu kawalan dari segi kemasukan Indonesia ke Malaysia dan operasi pengeluaran Pasport Menyeberang Sempadan (PMS).

Operasi ini akan mula diperkenalkan mulai 1 Mei 2022 dan akan dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin pada Mei ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jito, Ketua Imigresen Keningau, Roselizah Kahipin, Ketua Unit Pasport dan Dokumen Perjalanan (UTC) Pejabat Imigresen Keningau, Laindey Limpuong dan Ketua Imigresen Pos Kawalan Pagalungan, Spencer Billy P. Liberatus.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS jadi universiti awam pertama Malaysia terima Biasiswa Kedutaan China

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular