HomeIsu tempatanIsu alam sekitar, tanggungjawab bersama

Isu alam sekitar, tanggungjawab bersama

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Dalam mengejar arus pembangunan negara, kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sentiasa perlu dititikberatkan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata, perkembangan pesat ekonomi dan kemajuan dalam pelbagai industri menyebabkan berlaku kegiatan jenayah alam sekitar seperti pencemaran air sungai akibat sisa bahan kimia.

“Masalah-masalah seumpama ini telah menjejaskan kualiti kehidupan manusia dan ekosistem alam semula jadi.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama sebagai masyarakat yang inklusif untuk membantu kerajaan dalam menyelesaikan isu yang berkaitan dengan alam sekitar,” katanya.

Abidin berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kesedaran Pengurusan Sanitasi untuk Pemuliharaan Alam Sekitar Bandaraya Kota Kinabalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini baru-baru ini.

Seminar tersebut dianjurkan dengan kerjasama UMS, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Menurut Abidin, kolaborasi ahli akademik dari UMS dan UPM, penglibatan DBKK, agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil komuniti membuktikan kerajaan Sabah serius dalam memupuk kesedaran sanitasi untuk pemuliharaan alam sekitar khususnya di Kota Kinabalu.

“Seminar ini membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan memberi panduan bagaimana alam sekitar dapat diuruskan dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

“Seminar ini juga dapat menggalakkan penglibatan pembuat polisi, aktivis, NGO, ahli akademik dan wakil komuniti merencana strategi pengurusan sanitasi melalui perkongsian pengalaman mereka demi kebaikan bersama.

“Harapan saya agar setiap perkara yang dibincangkan dalam seminar ini mampu memberi manfaat dan impak yang positif kepada semua yang terlibat dalam mendepani cabaran terutama dalam hal berkaitan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Norliza Awang Alip; Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Prof. Madya Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh; dan Ketua Jawatankuasa Kerja Implementasi, Global Wastewater Initiatives Programme, United Nation Environment Programme (UNEP), Prof. Ts. Dr. Rahinah Ibrahim.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular