HomeIsu tempatanAhli PAWE disaran luangkan masa dan dekatkan diri dengan penggunaan teknologi digital...

Ahli PAWE disaran luangkan masa dan dekatkan diri dengan penggunaan teknologi digital – Shahelmey

Read Time:3 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Semua ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sabah disarankan meluangkan masa dan mendekatkan diri kepada pengunaan teknologi digital.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pengunaan teknologi digital disarankan kepada semua ahli PAWE kerana kehidupan seharian kita selepas berlalunya pandemik Covid-19 banyak dipengaruhi dengan pengunaan teknologi digital, ianya tidak rumit malah sangat memudahkan dan melancarkan segala urusan yang ada.

“Ahli-ahli PAWE yang belum begitu selesa dan belum begitu peka dengan penggunaan teknologi digital, saya menyarankan kepada semua pengerusi-pengerusi PAWE untuk mengadakan aktiviti-aktiviti untuk mengenali dan mengadaptasi pengunaan teknologi digital ini dan bolehlah berhubung dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, atau Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Juara Suara Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) 2022 (JuSEP 22) anjuran PAWE Sepanggar di Dewan Tun Sakaran, Hotel Raia, Sembulan di sini hari ini.

Shahelmey (dua kanan) diiringi Pengerusi PAWE Sepanggar Datin Mariah Takin (tiga kanan) melawat gerai-gerai pameran semasa program Juara Suara Emas PAWE 2022 di Hotel Raia, Sembulan hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi PAWE Sepanggar merangkap Pengerusi Penganjur JuSEP ’22, Datin Mariah Takin.

Sebanyak 14 PAWE dari seluruh Sabah turut menyertai program yang berlangsung selama tiga hari itu bermula 10 hingga 12 Jun di Hotel Raia, Sembulan di sini.

Menurut Shahelmey, PAWE Sabah telah menerima peruntukan dari kerajaan sebanyak RM1.05 juta termasuk satu kelulusan penubuhan PAWE baru iaitu PAWE Tenom.

“Di Sabah sebanyak 19 buah PAWE telah ditubuhkan dengan ahli berdaftar seramai 4784 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum.

“Walaupun PAWE terdiri dari pelbagai bangsa, agama, dan sosio ekonomi yang berbeza namun dengan adanya program sedemikian ia dapat mengukuhkan tali silaturrahim semua PAWE di negeri Sabah ini,” ujarnya.

Katanya, penubuhan PAWE selaras dengan dasar Keluarga Warga Emas Negara dengan penubuhan keluarga warga emas ini mengambil kira potensi yang ada dari golongan warga emas dari segi keupayaan mereka yang sihat untuk menyumbang khidmat bakti kepada komuniti setempat mereka.

“Antara lain tujuan PAWE ditubuhkan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas selari dengan konsep warga emas sihat, aktif dan produktif. Ia merupakan program sokongan sosial di peringkat komuniti yang bertujuan membantu warga emas berinteraksi dengan rakan sebaya, ahli keluarga dan masyarakat setempat.

“Dasar Keluarga Warga Emas Negara juga diiktiraf sebagai warganegara yang terdiri dari pelbagai latarbelakang dan pengalamannya mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera, dihormati dan boleh terus menerus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Selain aktiviti-aktiviti mengadakan majlis ramah mesra, PAWE juga disaran untuk berkerjasama membantu kerajaan dalam menangani gejala sosial yang berleluasa dikalangan golongan belia pada masa kini.

“Saya percaya semua golongan PAWE adalah ibubapa kepada golongan belia dan merupakan pemimpin-pemimpin setempat di komuniti masing-masing, saya memohon kepada semua PAWE selain daripada memenuhi aktiviti-aktiviti pusat warga emas, kita tunaikan tanggungjawab dalam komuniti kita, kita bimbing belia-belia kita supaya mereka mempunyai kesedaran dan dapat berfikir membuat keputusan dengan bijak agar mereka tidak memilih atau melakukan perkara-perkara berunsur negatif
supaya kita dapat membentuk masyarakat yang sejahtera serta dapat membimbing belia-belia menjadi pemimpin masa depan generasi kita,” tegasnya.

“Saya berharap kita sebagai keluarga PAWE akan terus hidup sejahtera serta terus releven sesuai dengan dasar Keluarga Warga Emas Negara dan dijangka tahun 2030, 15 peratus warga Malaysia mencapai usia 60 tahun ke atas,” katanya.

Menyentuh mengenai program JuSEP’22 hari ini, Mariah dalam ucapannya berkata, program seumpama ini merupakan julung kali diadakan bagi mencungkil bakat-bakat nyanyian yang terpendam ahli-ahli PAWE melalui pertandingan lagu-lagu yang didendangkan sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim antara PAWE di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, pelbagai pameran produk tempatan turut dipamerkan sepanjang program itu berlangsung.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS perkukuh kerjasama serantau bersama UNISMUH Makassar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular