HomeUtamaLPKP Seru Semua Pemandu Kenderaan Awam Daftar dan Terima Suntikan Vaksin COVID-19

LPKP Seru Semua Pemandu Kenderaan Awam Daftar dan Terima Suntikan Vaksin COVID-19

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah sedang mengumpul data maklumat semua pemandu teksi, kereta sewa, bas termasuk bas persiaran serta e-hailing di Sabah bagi membantu mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sehubungan itu, Pengerusi LPKP Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung mahu agar semua kumpulan pemandu yang terlibat ini mengambil peluang dengan mengisi borang di Facebook Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah sebelum atau pada 10 Julai 2021.

“Senarai nama yang diperolehi ini akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dimajukan kepada kementerian berkaitan bagi tujuan penyelarasan pendaftaran dan seterusnya mendapat suntikan vaksin COVID-19.

“Kerajaan mengiktiraf mereka ini sebagai kumpulan barisan hadapan yang turut memainkan peranan penting terutama dalam sektor pengangkutan.

Oleh itu, dengan melengkapkan dua dos suntikan maka adalah lebih mudah bagi mereka untuk beroperasi sepenuhnya semasa negara menghadapi pandemik COVID-19.

“Sebagai contohnya, apabila kerajaan Brunei Darussalam mewajibkan semua pemandu pengangkutan yang melalui sempadan negara itu untuk pergi atau balik ke Sarawak, banyak pemandu yang terjejas kerana kebanyakan mereka ini masih belum mendapat suntikan COVID-19,” kata Chin.

Selain itu, Chin berkata pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan kumpulan pemandu ini diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran jumlah suntikan kepada rakyat Malaysia menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat negara ini melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menjelang November tahun ini bagi mencapai fasa keempat Pelan Pemulihan Negara dan seterusnya melaksanakan imuniti kelompok.

“Oleh itu, adalah menjadi peranan kita semua, termasuk kumpulan barisan hadapan pemandu ini untuk sama-sama menjayakan Pelan Pemulihan Negara bagi membebaskan negara ini dari COVID-19 dan akhirnya kita semua dapat menjalankan aktiviti ekonomi yang sangat terjejas akibat pandemik ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular