KOTA KINABALU: Masyarakat khususnya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu disaran dan digalakkan untuk terus bergiat aktif menyertai aktiviti serta program berunsur kesihatan.
Isteri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datin Salina Mohd Usman berkata, aktiviti seumpama itu juga akan dapat membantu masyarakat terhindar dari penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit kronik.
“Pada hari ini saya hadir program yang julung kalinya pernah saya ikut, justeru saya berharap pada masa akan datang, program seumpama ini iaitu yang berunsur kesihatan akan terus dilaksanakan kepada masyarakat setempat.
“Saya juga berharap agar penduduk di kawasan Kota Kinabalu ini untuk sama-sama mengikuti aktiviti seperti ini kerana ini sangat bagus untuk menjaga kesihatan selain menurunkan berat, kolesterol, darah tinggi dan kencing manis. Lebih-lebih lagi ia dilakukan pada hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikian Senam Tari Zumba sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022 di Tanjung Lipat di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu Musliati Moslimin.
Program anjuran UMNO Bahagian Kota Kinabalu itu turut mengadakan pertandingan mewarna yang disertai murid-murid TADIKA Kemas dan sekolah rendah sekitar Kota Kinabalu.
Salina berkata, aktviti yang diadakan pada hujung minggu merupakan waktu yang terbaik dalam mengaktifkan diri dalam aktiviti sukan.
Sementara itu, Musliati berkata, program yang disertai lebih 200 peserta termasuk kanak-kanak itu merupakan pengisian program dalam menyemarakkan lagi semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini.
Katanya, penganjuran program itu juga merupakan yang pertama kali diadakan selepas dua tahun berlakunya pandemik COVID-19.
“Jadi program ini sudah tentu akan dapat mengeratkan lagi lagi silaturrahim dikalangan warga Kota Kinabalu khususnya mereka yang hadir sama pada program seperti ini seterusnya sama-sama menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Selain penganjuran program ini, kita juga ada menganjurkan program video pendek TikTok yang telah mula diadakan pada awal Ogos lalu dan penyampaian hadiah akan dilaksanakan pada 15 September ini. Video TikTok ini juga adalah berunsurkan Bulan Kebangsaan,” katanya.