HomeIsu tempatan50 perantis sertai Program Latihan Kemahiran SLDN secara modular di KATC

50 perantis sertai Program Latihan Kemahiran SLDN secara modular di KATC

Read Time:1 Minute, 40 Second

TUARAN : Seramai 50 orang perantis bakal menyertai Program Latihan Kemahiran Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dilaksanakan secara modular selama dua bulan dibawah pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sabah.

Pengurus Besar Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan (Ko-Nelayan) Sabah Yusof Awang Besar berkata, perantis yang terlibat akan mengikuti latihan dalam bidang Akualkultur Marin bagi tahap dua dan tahap tiga yang bermula pada bulan ini.

“Program latihan ini telah mula dilaksanakan di Pusat Latihan Akuakultur Ko-Nelayan (KATC) sejak 2014 dengan pentauliahan diberikan oleh pihak JPK.  Pusat ini akan melaksanakan dua program iaitu tahap dua (Operasi Akuakultur Marin) dan tahap tiga (Penyeliaan Operasi Akuakultur).

“Bagi pengambilan pada Oktober secara modular ini, latihan akan dilaksanakan selama dua bulan dan akan disambung lagi enam bulan pada tahun hadapan bagi melengkapkan modul yang dipelajari agar dapat ditauliahkan sijil penuh kepada para perantis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Sesi Orientasi Perantis Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)-SLDN di KATC di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pengurus Besar (Bahagian Pembangunan Perancangan Strategik) Ko-Nelayan Salleh Obong.

Yusof berkata, menerusi program latihan yang dilaksanakan ini, para perantis akan memperoleh elaun sebanyak RM500 sebulan selain insuran berkelompok secara percuma.

Katanya, para perantis juga akan memperoleh bahan pembelajaran teori dan amali secara percuma selain tempat tinggal percuma sepanjang latihan dilaksanakan.

Sementara itu, Yusof berkata, objektif penubuhan KATC adalah bagi melahirkan usahawan terlatih serta tenaga kerja separa mahir dan mahir dalam bidang akuakultur.

Selain itu katanya, KATC juga merancang, menyelaras, mengurus dan melaksana latihan akuakultur jangka pendek yang komprehensif dan latihan kemahiran.

“KATC turut memperkasakan pegawai-pegawai sedia ada bagi memenuhi tuntutan kepakaran industri,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berkata, KATC turut menawarkan pelbagai jenis kursus dan latihan kepada orang awam yang berminat mendalami ilmu dalam bidang akuakultur.

Antara kursus da latihan yang disediakan termasuklah Kursus Upskilling Dan Reskilling; Program Kemahiran Sldn Penuh Dan Modular; Program Latihan Keusahawan Belia Dan Akuasis; Program Tracers Study; Program Tailor Made; Program Smart Partnership dan pelbagai jenis latihan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program pertandingan inisiatif terbaik erat hubungan silaturrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular