KOTA KINABALU: Setakat ini lebih 5,000 tiket sudah terjual bagi menyaksikan perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC menentang Penang FC, Jumaat ini.
Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, penonton yang berminat untuk menyaksikannya secara langsung digalakkan supaya masuk seawal jam 5 petang.
“Perlawanan yang dijadualkan bermula pada jam 7.30 itu, digalakkan kepada penonton datang awal bagi mengelak kesesakan terutamanya di pintu masuk stadium yang akan membanjiri Stadium Likas bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Sabah FC.
“Setakat ini, lebih 5,000 tiket perlawanan sudah terjual dan kita menjangkakan lebih ramai peminat serta penyokong Sabah FC akan hadir pada perlawanan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, ini adalah perlawanan laman sendiri yang terakhir dalam Liga Super musim ini.
Sementara itu, tambahnya, semua pihak bagaimanapun perlu terus mematuhi aspek keselamatan termasuk langkah pencegahan penularan Covid-19.
Katanya, penyokong juga digesa supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak sesekali membaling botol atau sampah masuk ke dalam kawasan padang.
“Kita sekali lagi mengalakkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.
“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” ujarnya.