KOTA KINABALU : Jemaah Kabinet meluluskan cadangan peruntukan seorang wakil dari setiap Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai anggota lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelulusan pada 30 September itu adalah membabitkan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 [Akta 533].
“Cadangan pindaan ini akan seterusnya dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata, Kerajaan pada 1 September lalu telah pun melantik calon Kerajaan Negeri Sabah ke Lembaga pengarah LHDN Malaysia yang mengisi kekosongan ahli profesional dalam Lembaga LHDN.
“Namun, cadangan pindaan yang dipersetujui Jemaah Menteri akan menginstitusikan wakil daripada Sabah dan Sarawak di dalam lembaga pengarah LHDNM, di samping membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, ” katanya.
Menurutnya, Pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, Kerajaan percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian.