KOTA KINABALU : Pemain Sabah FC perlu lebih berdisiplin dan fokus dalam dua perlawanan terakhir bagi memastikan kedudukan di tangga kedua carta Liga Super kekal untuk sah bergelar sebagai naib juara musim ini.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, tugas itu bukan mudah meskipun telah berjaya membenam Penang FC 4-1 di Stadium Likas malam tadi.
Skuad The Rhinos akan bertemu Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur Selasa ini yang dilihat sangat penting sebelum berdepan dengan juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 15 Oktober ini.
“Itu matlamat kita (menjadi naib juara) tetapi kita masih lagi mempunyai dua perlawanan dan saya percaya kedudukan kita hanya ditentukan pada perlawanan terakhir kita (bertemu JDT).
“Tetapi kita perlu fokus pada perlawanan akan datang dengan pasukan Pahang di mana itu lebih penting untuk kita sebelum memikirkan perlawanan terakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC di sini malam tadi.
Kim Swee tetap meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi kepada anak buahnya untuk mempamerkan aksi berkualiti meskipun tahu pasukannya akan berdepan laluan sukar dalam Dua perlawanan terakhir menentang Sri Pahang dan JDT.
“Mereka (pemain Sabah FC) harus lebih berdisiplin, selepas ini kita akan bermain di tempat lawan dan kita pasti tidak akan dapat laluan mudah kerana kita tahu pasukan Pahang pun kebelakangan ini bangkit selepas (Datuk) Dollah Salleh mengambil alih.
“Jadi penting untuk kita mengekalkan momentum dan teruskan rentak kemenangan untuk kita memastikan Sabah FC berada dalam kelompok terbaik,” katanya.
Pada aksi malam tadi, Kim Swee menyifatkan ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana Penang FC bermain dengan corak taktikal yang baik walaupun dengan hanya 10 pemain.
Skuad kendalian Datuk Dollah Salleh kehilangan seorang pemain selepas tonggak importnya Rafael Vitor dilayangkan kad merah pada minit ke-42 kerana menjatuhkan pemain Sabah, Saddil Ramdani.
Namun, Kim Swee mengakui keputusan malam tadi sangat penting selepas Sabah FC gagal memperolehi sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.
Kemenangan ke atas Penang FC malam tadi membolehkan Sabah FC berjaya menambah tiga mata untuk meningkat ke 39 mata di tangga kedua carta liga, namun kedudukan itu diekori rapat Terengganu FC dengan 38 mata selepas menewaskan Melaka United FC 4-2 malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, Sabah mendahului jaringan 1-0 pada minit ke-32 sebelum disamakan 1-1 oleh Pulau Pinang pada minit ke-70.
Bagaimanapun, Sabah berjaya menambah gol kedua pada minit ke-72, disusuli gol sepakan penalti pada minit ke-78 dan satu lagi gol pada minit ke-88 menjadikan kedudukan memihak kepada Sabah dengan 4-1 hingga ke wisel penamat.