KOTA KINABALU: Program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan bagi sesi 2022/2023 mula ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang selari dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, universiti itu komited untuk menyumbang dalam pembangunan modal insan dengan pelaksanaan program yang diiktiraf dan bakal melahirkan graduan kejururawatan berkualiti dan kompeten untuk negeri Sabah.
“Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan yang ditawarkan ini bakal menyumbang kepada bilangan tenaga kerja profesional dalam kalangan generasi muda Sabah.
“Kekurangan tenaga kerja kejururawatan yang dialami oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di negeri ini bakal dapat diatasi dengan adanya graduan dari program kejururawatan UMS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kasim juga berharap pada masa hadapan, beban kerja dalam kalangan jururawat dapat diatasi dan sekali gus meningkatkan kualiti perawatan ke atas pesakit.
Tambahnya lagi, ini selaras dengan salah satu elemen pelan SMJ iaitu membangunkan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, program kejururawatan di UMS bermula dengan penawaran program Diploma Kejururawatan pada tahun 2008.
“Sehingga tahun ini, program Diploma Kejururawatan telah melahirkan lebih 500 graduan berkualiti serta diiktiraf dan kesemua graduan ini telah memenuhi keperluan tenaga kerja kejururawatan tempatan, termasuk juga antarabangsa seperti di Singapura, Australia dan Timur Tengah.
“Untuk merealisasikan pembangunan modal insan dalam kalangan rakyat Sabah, FPSK, UMS telah mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan.
“Program ini telah mendapat kelulusan daripada badan profesional yang memantau tahap kualiti pendidikan kejururawatan iaitu Lembaga Jururawat Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia sehingga ia dapat dilaksanakan pada tarikh yang bersejarah ini,” katanya.
Tambah Safree, berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan program kejururawatan UMS, hampir 100 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor kerajaan dan swasta sama ada dalam atau luar negeri.
“Ini membuktikan profesion kejururawatan adalah sangat diperlukan tidak kira di mana sahaja.
“Saya menyarankan agar lebih ramai lepasan STPM, Matrikulasi dan diploma mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan di UMS dan berharap lebih ramai jururawat profesional yang berkualiti dilahirkan oleh universiti ini,” katanya.