HomePendapatPesta Kaamatan Sabah ‘global’ tahun ini - Jeffrey Kitingan

Pesta Kaamatan Sabah ‘global’ tahun ini – Jeffrey Kitingan

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Dengan keadaan tidak menentu akibat pandemik, Pesta Kaamatan tahun ini akan disiarkan dalam talian seterusnya membuka peluang untuk Sabah menayangkan sambutan popular itu ke seluruh dunia.

Tahun lalu, Pesta Kaamatan, antara festival kebudayaan unik negara ini, dibatalkan kerana peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan berkata, virus itu tidak akan menghalang sambutan tahun ini yang amat dinanti-nantikan. Pesta sebulan itu bermula pada 1 Mei ini.

Kitingan yang juga timbalan presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata, sambutan peringkat negeri tahun ini akan diadakan secara maya, seterusnya membolehkan penonton di seluruh dunia mengakses keindahan festival berkenaan dan Sabah secara am.

Sambutan akan diadakan dengan mematuhi norma baharu serta SOP ketat kerajaan untuk membendung penyebaran Covid-19.

“Memandangkan kita akan bersiaran di peringkat global, ini memang peluang untuk menayangkan budaya kita kepada dunia. Sambutan ini adalah sepenuhnya secara digital dan kita mesti berhati-hati dengan apa yang ingin dipamerkan kepada dunia,” katanya dalam kenyataan.

“Banyak manfaat boleh didapati di sini. Kita boleh mengambil peluang ini untuk mempromosikan kebudayaan, pelancongan, pelaburan dan prospek perdagangan, pendidikan, teknologi malah juga keamanan.

“Kita perlu menayangkan yang terbaik dalam kebudayaan kita. Jadi kita perlu berbincang bagaimana dan apa yang akan dikongsikan dengan penonton di seluruh dunia.”

Jawatankuasa penganjur dipengerusikan Kitingan telah memutuskan tema tahun ini adalah Kaamatan Aiso Wolit Montok Piompunan om Pibabasan/Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan.

“Kami merasakan tema ini bersesuaian untuk tahun ini memandangkan begitu banyak yang telah berlaku terutama dengan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, majlis pembukaan dan penutupan akan diadakan di Hongkod Koisaan di Penampang iaitu lokasi tradisi festival itu, dan akan disiarkan dalam talian.

Bagaimanapun, katanya semua daerah akan mengadakan sambutan Kaamatan sendiri dengan turut mematuhi SOP ketat.

“Mungkin juga keadaan akan berubah pada Mei dan kita boleh mengadakan sambutan serentak dalam talian serta secara fizikal,” katanya.

Menurutnya, pertandingan nyanyian The Sugandoi dan ratu cantik Unduk Ngadau juga akan diadakan secara maya.

Pada masa sama, Kitingan berkata rakyat Malaysia khususnya dari Sabah adalah yang paling utama dalam sambutan ini, seterusnya beliau mengharapkan rangkaian televisyen akan menyiarkan program itu secara penuh.

Katanya, ini disebabkan masih ramai rakyat Sabah tiada akses internet yang bagus untuk membolehkan mereka menontonnya dalam talian.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Large Scale Solar Menawarkan ‘Value for Money’ untuk Bekalan Elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular