Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Meskipun sering kali berputus asa untuk meneruskan pengajian namun ianya bukan halangan untuk graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori mental, Nurul Yusra Afiqah Anuar untuk menamatkan pengajian seterusnya menerima ijazah Sarjana Psikologi dengan Kepujian (Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga).
Beliau berjaya menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24 di sini dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) sebanyak 3.53.
Yusra ketika ditemui mengakui berbangga dengan dirinya kerana mampu menamatkan pelajaran sehingga ke peringkat akhir.
“Saya berada jauh daripada ahli keluarga dan orang yang banyak memberi sokongan kepada saya semasa di UMS ialah pensyarah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang sering membawa saya keluar hingga ke Singapura dan Indonesia untuk menghiburkan saya.
“Memegang status OKU mental, cabaran yang saya sering terima adalah stigma masyarakat yang mengatakan bahawa saya tidak kelihatan seperti seorang OKU.
“Sekarang ini saya sudah bekerja dalam bidang yang saya sendiri merawat orang OKU mental. Semua pesakit serta pelatih di bawah pemantauan saya juga adalah OKU mental dan saya dapat faham apa yang mereka rasakan,” katanya.
Katanya, dia ingin memperlihatkan kepada pesakitnya bahawa dia telah berjaya mengatasi masalahnya kerana kebanyakan daripada mereka adalah orang yang tidak habis belajar disebabkan masalah sakit mental dan dia bertekad ingin memulihkan semangat mereka semula.
Tambahnya, kebanyakan sakit mental yang dihidapi adalah disebabkan trauma, anxiety dan tekanan.Yusra telah mendapat status OKU sejak tahun 2017 dan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan dia melakukan percubaan bunuh diri.
“Sepanjang tiga tahun bergelar pelajar prasiswazah, memang banyak waktu saya berasa putus asa, namun setiap kali itu juga saya akan minta bantuan di saluran yang betul.
“Setakat ini saya tidak pernah menganggap tugasan pengajian menjadikan tekanan saya lebih teruk kerana jurusan yang diambil sangat membantu saya, malah menjadikan saya lebih faham situasi saya dan membantu mengaplikasikannya dalam pekerjaan,” katanya.
Ketika ini beliau sedang bekerja di Pusat Rehabilitasi OKU Mental, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Case Manager, dan akan berpindah tempat kerja apabila menerima tawaran pekerjaan di sebuah syarikat yang melibatkan penyelidikan berkaitan tanda-tanda awal penyakit mental, personaliti dan juga cara mencegahnya sebelum terlambat. – SABAH MEDIA