KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut kerana ingin melarikan dari pihak polis dalam satu kejadian di Kampung Pukat Pasir Putih, Sandakan pada Jumaat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 pagi tadi mengenai kejadian berkenaan.
“Menurut maklumat dari pihak polis mangsa telah terjun ke laut pada Jumaat (10 Feb) untuk melarikan diri dari pihak Polis.
“Pada mulanya operasi pencarian telah dijalankan oleh pihak Maritim lebih kurang sejam tetapi mangsa belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seterusnya, misi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan Bomba pada hari ini (11 Feb) dengan melakukan kaedah ‘Surface Rescue’ manakala anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bersiap sedia untuk melakukan selaman.
“Mangsa yang hanya dikenali sebagai Man berusia 18 tahun itu sehingga kini belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari masa ke semasa,” kata kenyataan itu.