KOTA KINABALU: Sabah FC berpesta gol apabila berjaya membelasah Geylang International FC dari Singapura dengan jaringan 6-0 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa pra musim di Stadium Likas di sini malam tadi.
Keputusan yang dicapai pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dilihat seolah-olah mampu menyaingi dua pasukan ternama Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selain bakal menjadi antara pasukan yang digeruni musim ini.
Meskipun dibarisi ramai pemain baharu bertaraf bintang namun masih terlalu awal untuk menilai prestasi pasukan skuad Badak itu.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau tidak melihat keputusan yang dicatat para pemainnya semalam sebagai satu petunjuk bahawa pasukan bimbingannya itu sudah berada pada tahap terbaik.
Katanya, apa yang ingin dilihat adalah kombinasi serta keserasian serta keserasian di antara pemain terutama dengan corak permainan yang diinginkan.
“Walaupun ada ‘improvement’ daripada apa yang kita lihat (aksi persahabatan) di Thailand tetapi kita masih lagi jauh, yang mana kita ada dua lagi perlawanan sebelum bermulanya Liga Super nanti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini yang bermula pada 25 Februari ini khususnya dalam menentukan kesebelasan utama pasukan, Kim Swee berkata, kesebelasan utama bukanlah yang paling penting.
“Saya tidak memikirkan hanya kepada kesebelasan utama. Apa yang penting kesemua pemain yang diturunkan hari ini harus mempunyai prestasi yang seimbang.
“Ini penting untuk kita melalui musim yang agak panjang dan semua pemain dalam pasukan Sabah FC bagi saya adalah cukup penting,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai harapan untuk mendapatkan dua lagi pemain import bagi membantu Sabah FC, Kim Swee berkata perbincangan mengenai perkara itu masih dijalankan.
“Kita masih lagi berbincang dan kita harus tunggu dan lihat apa perancangan dari pihak pengurusan selepas ini,” katanya.
Setakat ini, Sabah FC sudah mengikat empat pemain import baharu iaitu Jailton Paraiba dan Gabriel Peres dari Brazil, Telmo Castanheira dari Portugal dan Jacob Njoku dari Nigeria yang sebelum ini bermain dengan pasukan Kelantan.
Sementara itu, dalam aksi persahabatan malam tadi, pasukan Sabah FC memecah gawang pelawat seawal minit kesembilan menerusi rembatan Gabriel, disusuli gol kedua oleh Daniel Ting pada minit ke-13.
Pasukan Geylang berjaya bertahan tanpa jaringan baharu selepas itu sehingga tamat separuh masa pertama, namun kembali dirempuh Sang Badak pada separuh masa kedua apabila empat lagi jaringan berjaya disudahkan anak buah Kim Swee.
Empat jaringan Sabah pada separuh masa kedua, masing-masing disumbangkan Darren Lok (minit 62) menerusi tendangan penalti, Saddil Ramdani (minit 67) dan Amri Yahyah (minit 76, 91). – SABAH MEDIA.