KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta
untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program yang akan dilaksanakan meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.
Katanya, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.
Menurutnya, sejak beliau memimpin kerajaan negeri September 2020, pelbagai
inisiatif baharu telah diperkenalkan kepada golongan belia di negeri ini.
“Justeru dalam bidang pendidikan, kerajaan telah melaksanakan beberapa program
termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang menyasarkan para pelajar yang menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Insiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah
(BISBAH), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sabah
(BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Anugerah
Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA)”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua
Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri
Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan turut mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS)
yang menjadi landasan bagi membolehkan lebih ramai lagi anak-anak Sabah
berpeluang ke IPT di dalam dan di luar negara.
“Kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia
(SEMESTA) untuk memayungi persatuan mahasiswa di semua IPT seluruh negara
sekali gus bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, idea serta cadangan untuk
pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.
“Komitmen kerajaan negeri tidak hanya dalam aspek pendidikan, malah juga
bidang keusahawanan dengan beberapa skim keusahawanan diperkenalkan seperti
Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang membantu belia yang berkecimpung dalam perniagaan kembali bangkit setelah terjejas akibat penularan
COVID-19.
“Program ini akan diteruskan dan saya menyarankan Majlis Belia Sabah (MBS) dapat
menjadi penggerak penting kepada pelaksanaan SYABAS pada tahun ini”, jelasnya.
Menurutnya, pelaksanaan Felo SMJ yang bermula pada tahun lalu, akan diteruskan
pada tahun ini dibawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKBS) dengan Presiden
MBS yang akan menyelaras program itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan
Sukan Sabah (KBSS) dan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR). Ini
termasuk beberapa penganjuran program baharu seperti Dewan Belia Sabah.
“Kerajaan Negeri juga akan sentiasa mendengar dan memberi tumpuan
kepada suara anak muda di negeri ini kerana pandangan dan pendapat mereka
diperlukan untuk menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Justeru katanya, dalam Belanjawan 2023 Sabah, Kerajaan Negeri telah
memperuntukkan sebanyak RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan di Sabah.
“Pembangunan modal insan tidak hanya kepada potensi belia semata-mata. Saya
amat mengambil berat akan pelan pembangunan belia berisiko terutamanya dalam isu
penagihan dadah.
“Saya mengambil maklum mengenai pemerkasaan program kesedaran awam
mengenai salah guna dadah di kalangan belia. Saya percaya MBS dan badan-badan gabungannya mampu menjadi faktor pelindung kepada belia-belia berisiko”, katanya.
Serentak itu Hajiji meletakkan harapan tinggi kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan
(AADK) dan MBS untuk bergerak bersama dalam memastikan program pendidikan pencegahan dadah ini dapat dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi. Beliau percaya dengan pelan perancangan strategik untuk menyantuni pembangunan potensi belia berisiko, dapat dijayakan demi pembangunan belia Sabah secara holistik.
Hajiji juga menyarankan semua agensi kerajaan dan pertubuhan belia di negeri ini
bersama-sama dengan AADK dalam mencapai matlamat komuniti bebas dadah.
“Belia sebagai faktor pelindung harus menyokong kempen “Lebih Baik Cegah” kerana
pencegahan bermula dari rumah”, tegasnya.
Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri bertekad untuk membawa negeri ini terus maju dan
makmur serta perjuangan terhadap hak dan kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus diperjuangkan, terutamanya hak dan kepentingan yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan hingga hari ini dan masa depan”, katanya.
Katanya, menerusi Hala Tuju SMJ yang akan genap dua tahun pelaksanaannya pada
29 Mac 2023, telah melakar kejayaan demi kejayaan, termasuk peningkatan hasil negeri menghampiri paras RM7 bilion berbanding paras RM4 bilion ketika bermula.
Hajiji berkata, peningkatan hasil negeri bermakna lebih banyak peruntukan boleh
disalurkan untuk kesejahteraan rakyat, dan beliau optimis, angka ini akan terus
bertambah pada tahun akan datang sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Sabah.
“Kita akan memastikan segala perancangan dilaksanakan, di samping mengenal pasti
strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu, termasuk usaha untuk menarik
lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ”, katanya.
Beliau turut mengajak para belia agar terus memberi sokongan serta dokongan
kepadanya dan rakan-rakan lain dalam membawa negeri Sabah lebih maju dan
makmur. Sokongan rakyat khususnya anak muda kepada kerajaan amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terjamin.
Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin dan Presiden Majlis
Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan.